Kerajaan pinda akta benarkan dana KWAN untuk perolehan vaksin

Kerajaan meluluskan pindaan ke atas Akta KWAN 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin. Gambar hiasan
Kerajaan meluluskan pindaan ke atas Akta KWAN 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa hari ini, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 6, telah dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 April lepas menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki bagi meminda akta itu.

Subseksyen baharu ini menyatakan 'pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)'.

Petronas merupakan penyumbang terbesar dana KWAN.

Pada 12 Januari lepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!