'Kita mahukan bola sepak yang bersih'

Subkhiddin
Subkhiddin
A
A
A

ISU keputusan pengadil yang tidak konsisten akan menjadi lebih parah sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus alpa dan tidak bertindak tegas untuk menyelesaikan segera perkara tersebut.

Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, nasihat daripada pelbagai pihak sebelum ini harus diambil berat dalam usaha memastikan mutu pengadilan di negara ini boleh berada pada tahap yang terbaik.

"Berkaitan isu pemain yang menyentuh pengadil rasanya saya telah berikan nasihat dan amaran awal sebelum ini yang menyentuh kepada hukuman yang memberikan mesej yang tidak jelas kepada keluarga bola sepak'. Kealpaan pihak tertentu yang gagal bertindak dengan bijak dari awal kini telah mencetuskan masalah besar.

"Jangan terlalu ego dengan status dan kedudukan sehingga pendapat orang lain diketawakan. Nasihat Datuk Jamal Nasir Ismail khususnya perlu diamati dengan baik bukan sahaja untuk pasukan tetapi juga untuk pengadil.

"Kita mahukan bola sepak yang bersih dan dimainkan oleh mereka yang mempunyai nilai-nilai ‘appearance' yang boleh dicontohi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Pada masa yang sama kita juga tidak ingin melihat bola sepak dikawal oleh 'robot' yang tidak mempunyai nilai ‘common sense’.

"Jadi, pengadil juga perlu bijak dalam menguruskan perlawanan, perlu konsisten dalam kebanyakan keputusan yang mereka putuskan. Jangan malas untuk sentiasa belajar dan berusaha untuk menjadi hakim yang adil, dipercayai dan dihormati oleh semua pihak," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, isu membabitkan mutu pengadilan kembali hangat diperkatakan selepas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Gabriel Cabrera yang menyentuh pengadil dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat namun hanya dilayangkan kad kuning.

Berbeza dengan insiden membabitkan pemain muda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fadzrul Danel Mohd Nizam yang dibuang padang kerana menyentuh pengadil ketika aksi menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus mengundang persoalan dalam kalangan peminat dengan legenda bola sepak negara, Jamal Nasir menyifatkan Liga Malaysia (Liga-M) umpama liga yo-yo terutama dalam isu mutu pengadilan yang disifatkan sering membuat keputusan yang tidak konsisten.

Mengulas lanjut, Subkhiddin turut menjelaskan sentuhan fizikal yang berniat untuk mencabar keputusan pengadil adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Tanpa mengaitkan dengan mana-mana insiden yang berlaku dalam Liga-M, beliau menyifatkan sentuhan fizikal untuk mencabar sebarang keputusan menyerupai penghinaan kepada pengadil perlawanan.

"Kita perlu faham sentuhan fizikal yang berpunca daripada mencabar keputusan pengadil, kecewa atau tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil atau mana-mana perbuatan sentuhan fizikal yang didorong oleh perasaan tidak menghormati pengadil adalah tidak boleh diterima sama sekali.

"Apakah pengadil tidak boleh disentuh? Jawapannya boleh, jika ingin sentuh pengadil lakukanlah semasa berkomunikasi dengan baik tetapi bukan dengan provokasi atau berniat untuk menghina pengadil tersebut seperti memegang kepala pengadil atau perbuatan yang menyerupai penghinaan kepada pengadil tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!