Saddil utamakan kejayaan Sabah FC
TONGGAK Sabah FC, Saddil Ramdani tidak mahu mendabik dada sebaliknya pemain sayap dari Indonesia menganggap tiga gol dan dua bantuan jaringan bersama The Rhinos pada musim ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan.
Menurut Saddil, dia bukan seorang pemain yang mahu dijulang sebagai wira dalam mana-mana perlawanan tetapi apa yang lebih utama adalah kejayaan buat kelab.
Jelas Saddil, dia secara jujur berasakan masih banyak perlu dilakukan bagi memburu kedudukan lebih baik di musim ini ditambah Sabah baharu sahaja mendaki ke tangga kelapan Liga Super hasil kemenangan ke atas UiTM.
“Kemahuan saya di sini hanya satu, mendapatkan lebih banyak minit bermain dan dapat membantu rakan-rakan dalam tiap perlawanan serta berikan yang terbaik dalam tiap perlawanan.
“Jaringan-jaringan yang telah lakukan bersama Sabah, bukan atas kemampuan saya secara individu 100 peratus tetapi itu adalah bantuan serta usaha kami sebagai satu pasukan.
“Saya tidak mahu segala pujian diberikan kepada saya kerana apa yang berlaku adalah kerja keras semua yang terbabit dengan pasukan sama ada di dalam atau di luar padang.
“Perjalanan untuk musim ini masih terlalu jauh dan saya serta rakan-rakan akan sentiasa berikan yang maksima buat pasukan kerana kita jelas belum berada dalam kedudukan yang selesa,” katanya.
Saddil mencetak satu jaringan daripada empat jaringan Sabah ketika membenam UiTM selain bertindak sebagai pengumpan kepada dua lagi gol yang dihasilkan Park Tae-su dan Bobby Gonzales.
Prestasi hebat Saddil turut meraih tumpuan sebahagian besar peminat Indonesia selain Sabah yang melihat dia mula mempamerkan potensi sebenar selepas gagal bersinar semasa bersama Pahang pada musim 2019.
Justeru, Saddil mengharapkan peminat-peminatnya dari Indonesia bukan sahaja teruskan sokongan kepada dirinya tetapi turut kepada Sabah.
“Secara peribadi, saya mahu ucapkan terima kasih kepada masyarakat Indonesia yang tidak jemu-jemu berikan kata semangat kepada saya sepanjang di Liga Malaysia.
“Harap mereka tidak bosan dalam menyokong saya dan dalam masa sama, turut berikan sokongan kepada Sabah selain saya tidak lupakan kepada masyarakat Sabah yang sangat peramah dan sentiasa berikan kata positif kepada saya,” katanya.
Sabah bakal berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berdepan Selangor FC pada Jumaat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!