Empat terbunuh, letupan bom di hotel di Pakistan
KARACHI - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan belasan lagi cedera pada Rabu dalam letupan bom di tempat letak kenderaan hotel lima bintang di barat daya Pakistan, kata seorang pegawai, lapor Agensi Anadolu.
Kejadian di bandar Quetta itu memusnahkan beberapa kenderaan menyaksikan serpihan kaca dan logam bertaburan di lokasi, memetik penyiar tempatan Dawn News.
Letupan itu turut menyebabkan kebakaran dan kepulan asap memenuhi ruang udara.
Timbalan Komisioner Aurungzeb Badini dalam akaun Twiternya mengesahkan jumlah korban dan menyatakan api telah berjaya dipadamkam.
Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rasheed Ahmed berkata, Duta China ke Pakistan turut menginap di hotel berkenaan, tetapi tidak berada di biliknya ketika kejadian, kata Rasheed kepada wartawan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Polis sedang menyiasat punca kejadian dan siasatan awal mendapati bahan letupan dipasang pada kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kereta hotel berkenaan.
Pegawai kesihatan bimbang jumlah korban mungkin meningkat memandangkan beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Sepanjang dekad kebelakangan ini wilayah Punjab - terutama ibu kota Quetta - diancam gelombang keganasan sehingga mengakibatkan lebih 2,200 orang terbunuh, menurut media tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!