USMKK FC janji cabaran sengit saingan KFL

Hafiz (tengah) optimis pasukannya akan melangkah jauh selepas ini.
Hafiz (tengah) optimis pasukannya akan melangkah jauh selepas ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Football Club (USMKK FC) yakin mampu jadi pencabar utama kejuaraan sulung Liga Bola Sepak Kelantan (KFL) yang akan bermula pada Jun depan.

Penasihat USMKK FC, Hafiz Assad Zakaria berkata, kesungguhan ditunjukkan semua pihak termasuk pegawai pasukan dan pemain sepanjang sesi latihan yang telah diaturkan menambah keyakinan skuad berkenaan untuk mencipta kejutan.

"Alhamdulillah, kita akan menyertai kejohanan ini dengan semangat yang padu. Saya yakin dengan himpunan barisan pemain yang ada, ditambah kerjasama pegawai pasukan yang mantap, pasti akan membuahkan keputusan yang positif," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, walaupun KFL akan dibarisi 32 pasukan yang gah, namun beliau percaya pasukan berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri untuk mencapai kejayaan berganda.

Menurutnya, barisan pemain muda antara menjadi kekuatan pasukan memandangkan pemain-pemain yang dipilih melibatkan mereka yang masih muda dan mempunyai tenaga yang jauh berbeza.

Sementara itu, Pengurus Pasukan USMKK FC, Mohd Khairul Azmaiha Md Nor, berkata, pihaknya akan menjalani dua sesi pemilihan pemain sehingga hujung April ini walaupun ketika Ramadan memandangkan sesi pendaftaran pemain adalah pada 30 April ini.

Selepas sesi pemilihan dilakukan, katanya, pihaknya akan mengendalikan latihan pertama yang juga akan diadakan dalam bulan puasa bagi memastikan pemain mendapat tempoh latihan yang mencukupi sebelum beraksi di gelanggang sebenar.

“Pada mulanya kita agak risau untuk buat latihan pada bulan puasa memandangkan cuaca agak panas namun berdasarkan kepada perbincangan dengan pihak pengurusan, masing-masing bersetuju dan latihan masih boleh dijalankan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula kita sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka banyak aktiviti yang kita kurangkan dan gantikan dengan latihan secara maya walaupun mereka berada di rumah masing-masing.

“Kestabilan stamina ini perlu walaupun dalam bulan Ramadan. Kita tidak mahu pemain-pemain kita tidak menjaga diri dan kawal pemakanan. Kita memberi sepenuh kepercayaan kepada jurulatih untuk melaksanakan jadual yang terbaik kepada pemain-pemain kami," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!