TFC mahu cipta kejutan di Stadium Sultan Ibrahim
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain percaya skuad bimbingannya dapat membawa pulang keputusan positif dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu ini.
Malah jurulatih berusia 43 tahun itu mengingatkan anak buahnya supaya tidak gentar dengan penghuni tempat pertama liga itu walaupun JDT mempunyai pelbagai kelebihan.
“Memanglah JDT mempunyai pelbagai kelebihan seperti pasukan mereka ada ramai pemain yang sudah bersama selama dua atau tiga tahun jadi persefahaman yang mereka ada mungkin lebih baik berbanding kita (TFC).
“Namun, saya ingatkan anak buah supaya jangan gentar dan yakin dengan diri sendiri apabila ‘pegang bola’ nanti. Kita juga ada kemampuan sendiri,” katanya kepada pemberita di sini.
Pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dijangka sengit kerana TFC perlu memastikan skuad Penyu kekal berada pada kedudukan kedua liga memandangkan kini hanya mempunyai kelebihan satu mata berbanding penghuni tempat ketiga, Kedah Darul Aman FC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!