Edar dadah 149.5 gram, duda anak enam ke tali gantung

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang duda anak enam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah mengedar 149.5 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahfary Sabri, 47, selepas mahkamah berpuas hati tiada keraguan munasabah yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan.

Shahfary dituduh mengedar dadah itu di sebuah bilik hotel di sini pada 19 Oktober 2018 mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh ditahan pihak polis di kawasan lobi hotel sebelum dibawa naik ke sebuah bilik hotel itu untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan polis telah menemukan dadah dibungkus di dalam sebuah plastik hitam bertulis perkataan 'Thank You' di celah pinggang seluar tertuduh.

Lima saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 September 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Haris Salleh Hamzah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!