'Jangan takut suntik vaksin Covid-19, tak sakit'

Wan Khadijah
Wan Khadijah
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang warga emas teruja apabila menjadi antara penerima awal suntikan vaksin Covid-19 di sini pada Khamis.

Wan Khadijah Wan Salleh, 81, berkata, dia langsung tidak merasa sakit ketika menerima suntikan tersebut.

"Jangan takut...tak sakit," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di Tok Bali pada Khamis.

Menurutnya, dia tidak takut, malah begitu teruja apabila menjadi sebahagian daripada kumpulan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 dan menyifatkannya sebagai satu anugerah tidak terhitung nilainya.

"Sejujurnya anak-anak terkejut melihat semangat saya yang begitu teruja untuk menerima suntikan.

"Bagi saya, suntikan vaksin ini penting bagi mengukuhkan lagi imunisasi badan dalam mencegah Covid-19," katanya.

Menurutnya, warga emas di luar sana diingatkan supaya tidak takut untuk menerima suntikan vaksin.

Seorang lagi penerima suntikan, Abdul Ghani Jusoh, 71, berkata, dia bersyukur proses itu berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarulzaman (berdiri,kanan) bertanyakan khabar kepada orang ramai yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Mohd Kamarulzaman (berdiri,kanan) bertanyakan khabar kepada orang ramai yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh.

"Diharap dengan adanya vaksin, saya dapat bertemu dan berkumpul dengan anak-anak serta cucu seperti sebelum situasi wabak Covid-19 melanda.

"Suntiklah demi kebaikan dan kesihatan kita bersama," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Jajahan Pasir Puteh,Mohd Kamarulzaman Ab Wahab berkata, tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat di jajahan itu untuk mendaftar masih lagi lemah.

Beliau berkata, setakat ini hanya 18,000 daripada 90,000 penduduk yang sudah berbuat demikian.

"Kita akan terus melipat gandakan proses pendaftaran suntikan ini dengan kerap turun padang selain menjalankan kempen-kempen kesedaran," katanya.

Menurutnya, hasil program turun padang yang dijalankan mendapati mereka lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan untuk mendaftar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!