Cubaan 42 PATI warga Thailand pulang ke negara asal gagal
RANTAU PANJANG - Hasrat 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan tidak sah gagal apabila ditangkap oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan pada Rabu.
Kumpulan PATI warga Thailand termasuk dua kanak-kanak berusia tiga tahun dicekup di pangkalan haram Tok Awang Belulang selepas turun dari sebuah bas pada jam 7.45 malam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, selain itu pihaknya berjaya menahan seorang pemandu dan kelindan bas warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat.
"Siasatan awal mendapati PATI ini datang dari Kuala Lumpur dan dipercayai cuba melintasi sempadan Malaysia untuk pulang ke negara asal," katanya pada sidang akhbar di Markas PGA Lubok Stol, di sini pada Khamis.
Menurutnya, semasa membuat pemerhatian di kawasan pangkalan haram itu, anggota PGA ternampak sebuah bas yang diparkir dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pemerhatian lanjut mendapati beberapa orang penumpang turun dari bas tersebut dan mengangkat bagasi dipercayai untuk melintasi sempadan.
Azhari berkata, anggota PGA yang berada di lokasi itu telah bertindak pantas dengan menahan semua PATI tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri mendapati kebanyakan pas lawatan PATI itu tamat tempoh.
"Selain itu, ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Daripada jumlah tersebut, 30 PATI yang ditahan adalah lelaki dan selebihnya wanita," katanya.
Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!