Empat penguat kuasa kastam tak mengaku salah lepas kontena rokok

Salah seorang pegawai penguat kuasa kastam yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
Salah seorang pegawai penguat kuasa kastam yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Malaysia Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan secara bersama melepaskan dua kontena rokok, tahun lalu.

Muhammad Faizulhidi Abd Manan, 33; Nazril Md Yusoof, 41; Mohd Zauf'an Mohd Yusof, 42; dan Muhammad Najib Mohd Roby, 34, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama menyebabkan barangan dagangan berupa rokok di dalam sebuah kontena bernombor EISU9345488 dilepaskan walaupun telah disita dengan sempurna.

Bagi pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh secara bersama telah menyebabkan barangan dagangan berupa rokok di dalam sebuah kontena bernombor TGHU6995609 dilepaskan walaupun telah disita dengan sempurna.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 2.41 pagi dan 6.30 petang pada 18 November 2020 di Pelabuhan Pasir Gudang, Mukim Plentong.

Oleh itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136(b) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 136(i) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Jun depan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya JKDM, Khairul Nizam Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Ahmad Khairudin Khalid.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!