SRC: Hakim bicara tidak berat sebelah, tidak wujud ketidakadilan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
 - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tiada kerugian bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hanya memberikan poin utama apabila beliau mengarahkan bekas perdana menteri itu membela diri, Mahkamah Rayuan diberitahu pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk V. Sithambaram menjelaskan di bawah undang-undang, hakim bicara tidak perlu memberi alasan dalam keputusan lisannya apabila mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri.

“Pendapat yang menyatakan perayu (Najib) telah diprejudis kerana tidak dapat membentangkan pembelaannya dengan betul atau mengemukakan alasan yang hilang itu, adalah tidak berasas.

“Dihujahkan bahawa ketidakadilan tidak berlaku kerana semua aturan prosedur dan bukti telah diikuti dalam perbicaraan ini,” katanya.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Turut bersidang Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Yang Arif, tugas pihak pembelaan adalah untuk menjawab keseluruhan kes pendakwaan dan bukannya menangkis penemuan prima facie hakim bicara,” kata Sithambaram.

Beliau menegaskan memerintahkan tertuduh membela diri berdasarkan keputusan lisan bukanlah penghakiman.

Artikel Berkaitan:

“Tidak wujud dua penghakiman, tetapi hanya satu apabila tertuduh sama ada dibebaskan atau disabitkan dengan pertuduhan jenayah,” katanya sambil menambah dakwaan pembelaan bahawa tertuduh dinafikan perbicaraan yang adil adalah satu hujah yang terdesak.

Sithambaram berkata, jika hujah pembelaan diterima, tiada hakim bicara pada masa akan datang yang akan memberi alasan secara lisan atau bertulis untuk memerintahkan tertuduh membela diri.

“Dalam kes kami, hakim bicara memberikan poin penting untuk memerintahkan Najib membela diri bagi kesemua pertuduhan, walaupun beliau tidak dikehendaki berbuat demikian. Ia adalah bonus bagi pihak pembelaan untuk mendapat beberapa poin bagi pembelaan Najib, tetapi mereka tetap merungut,” kata Sithambaram sambil menambah sebagai peguam, beliau akan gembira jika mendapat petunjuk mengapa anak guamnya perlu membela diri.

Beliau juga berkata dakwaan pihak pembelaan bahawa Hakim Mohd Nazlan berat sebelah dalam perbicaraan itu adalah ‘sama sekali tidak berasas’.

“Tuduhan peguam utama pihak pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, baik di dalam atau di luar mahkamah bahawa hakim itu berat sebelah mengendalikan kes pihak pembelaan. Bermaksud bahawa hakim bicara berat sebelah dengan menyebelahi pihak pendakwaan.

“Yang Arif, ini adalah tuduhan yang sangat serius. Saya menyokong penghakiman itu yang menunjukkan tuduhan terhadap hakim tersebut adalah tidak berasas berdasarkan bukti yang telah dikemukakan. Sama sekali tidak wajar. Tiada asas untuk mengatakan hakim itu (bertindak sebagai) ‘pendakwa kedua’ atau tidak cekap atau menunjukkan ketidakcekapan.

“Ringkasan (oleh pihak pendakwaan hari ini) dibuat untuk menyelamatkan integriti alasan penghakiman, dan dalam konteks yang lebih luas untuk memastikan pentadbiran keadilan yang sewajarnya tidak tercemar. Ini adalah kes penting yang diikuti orang ramai dan orang yang membaca (berita perbicaraan) mungkin berfikir hakim berat sebelah dan tidak cekap tanpa asas.

“Perayu atau pembelaan telah menyerang hakim. Adalah penting bagi pihak pendakwaan untuk membuat hujahan ini kerana hakim tidak dapat membela diri terhadap tuduhan yang dilontarkan terhadapnya,” katanya.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!