MV Mega Bakti bantu cari kapal selam TNI Indonesia

MV Mega Bakti digerakkan bagi membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam KRI Nanggala yang hilang di perairan utara Pulau Bali. - Foto sumber internet
MV Mega Bakti digerakkan bagi membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam KRI Nanggala yang hilang di perairan utara Pulau Bali. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu MV Mega Bakti diatur gerak pagi tadi bagi membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala, yang terputus hubungan dan hilang di perairan utara Pulau Bali.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Khamis, MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dan dijangka tiba di lokasi operasi pada jam 3 petang, 25 April ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Komander TLDM, Mohd Hairul Fahmy Yob selaku koordinator pasukan penyelamat itu melibatkan 54 kru yang terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia serta 44 kru MV Mega Bakti.

"MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

"TLDM turut akan mengadakan solat hajat dan memanjatkan doa ke atas keselamatan anak-anak kapal dan agar kapal selam tersebut segera ditemukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Operasi SAR ini adalah yang kedua melibatkan MV Mega Bakti selepas terlibat dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

Antara keupayaan serta peralatan SAR dalam kapal tersebut ialah Distress Submarine Ventilation Depressurrized System, GPS Intelligent Buoy (GIB) System - Localisation of Pinger dan Intervention Remotely Operated Vehicle (IROV) with LARS operating Depth 650m, ELSS Pod dan Dive Decompression Chamber.

Sebelum itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghubungi rakan sejawatannya di Indonesia, Prabowo Subianto bagi menyampaikan rasa simpati terhadap warga TNI susulan insiden tersebut dan menghantar bantuan sebagai negara sahabat.

Artikel Berkaitan:

“Mindef melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas operasi SAR ini dan ketersediaan TLDM membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.

"Selain menekankan pendekatan diplomasi pertahanan, operasi SAR ini juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia," menurut kenyataan itu.

Kapal selam milik TNI, KRI Nanggala-402 dipercayai terputus hubungan ketika sesi latihan di perairan berhampiran Bali sejak awal pagi tadi.

Dipercayai seramai 53 kru berada dalam kapal selam TNI yang dilaporkan terputus hubungan pada jam 4.30 pagi tadi di sekitar 96 kilometer di perairan Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: TLDM bantu pencarian kapal selam TNI Indonesia

Indonesia: Kapal selam TNI hilang di perairan Bali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!