Sikap toleransi kunci pembangunan, keamanan negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan tetamu ketika hadir Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan tetamu ketika hadir Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sikap toleransi yang diamalkan rakyat Malaysia merupakan kunci kepada pembangunan dan keamanan negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun negara memiliki masyarakat berbilang kaum dan agama, namun rakyatnya tidak bermusuh sesama sendiri sebaliknya bekerjasama meraikan bersama hari kebesaran masing-masing.

Misalnya, katanya, jumlah kehadiran ramai pada sambutan Tahun Baharu Cina di sini menunjukkan perasaan persahabatan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan terhad kepada pemimpin sahaja malah semua rakyat.

Beliau berkata, walaupun menganuti agama yang sama, rakyat kebanyakan negara lain tidak dapat hidup dengan aman kerana tiada sikap toleransi sehingga mengakbitkan negara itu dilanda peperangan dan ramai rakyatnya terbunuh.

Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio di sini malam ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beberapa anggota barisan Kabinet, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir turut menyeru rakyat di negara ini memperkukuh dan meneruskan sikap toleransi dalam masyarakat majmuk.

"Kita sebenarnya mendapat untung yang besar kerana negara kita terdapat begitu banyak kaum dan suku kaum sehingga dunia iktiraf Malaysia sebagai ‘Truly Asia’,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati rakyat ketika ini membolehkan masyarakat menyumbang kepada pembangunan negara dengan lebih pesat berbanding negara-negara lain.

"Sebab itu rakyat Malaysia mesti bersyukur bukan kerana ada kelainan bangsa dan agama, tetapi sebaliknya bersyukur kerana agama dan kaum-kaum yang lain dapat hidup rukun aman damai dan dapat membangunkan negara dengan cara masing-masing,” katanya.

Pada majlis berkenaan, hadirin turut dihiburkan dengan tarian singa oleh Kumpulan Tarian Singa Muar, nyanyian artis dan persembahan bunga api.

Terdahulu, perdana menteri turut memalu gendang sebagai tanda pelancaran bersama MRTM Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!