Sindiket tipu pencari kerja e-dagang tumpas

Mohd Mahidisham (kiri) menunjukkan hasil rampasan dan gambar dua suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohd Mahidisham (kiri) menunjukkan hasil rampasan dan gambar dua suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkar taktik sindiket penipuan yang menyamar sebagai ejen menawarkan pekerjaan dengan menggunakan platform e-dagang selepas menahan sembilan individu termasuk empat wanita di sebuah premis sekitar ibu negara pada 15 April lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Mahidisham Ishak berkata, suspek berusia 17 hingga 37 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang mendakwa kerugian RM11,194 kerana tertipu dengan sindiket berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya merampas sebanyak 57 buah telefon bimbit, empat komputer riba dan tujuh komputer.

"Modus operandi sindiket itu adalah mangsa perlu membuat pembelian barang secara dalam talian selepas diterima bekerja.

"Mangsa telah dijanjikan akan menerima semula bayaran berserta komisen sebanyak lapan peratus bagi setiap pembelian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Mohd Mahidisham berkata, sebanyak 67 kertas siasatan yang melibatkan modus operandi yang sama di seluruh negara di mana 27 daripadanya disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur.

Katanya, jumlah kerugian keseluruhan yang terlibat adalah RM689,850.09 di mana RM246,892.63 bagi kontinjen Kuala Lumpur.

"Sindiket itu dipercayai aktif sejak bulan lalu. Kita masih mengesan dua lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Mahidisham menasihati orang ramai supaya membuat semakan di laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

"Jangan mudah percaya dengan tawaran pekerjaan yang memberikan gaji yang tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!