PGA rampas 8.4 tan minyak masak peket

Azhari (tengah) menunjukkan minyak masak peket yang berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan di sebuah kedai di Kampung Salor, Kota Bharu.
Azhari (tengah) menunjukkan minyak masak peket yang berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan di sebuah kedai di Kampung Salor, Kota Bharu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya merampas 8.4 tan minyak masak peket bersubsidi yang cuba diseludup ke Thailand pada Rabu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan jam 6 petang itu dilakukan di belakang sebuah kedai di Kampung Salor, Kota Bharu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat berkait penyeludupan sepasukan anggota PGA bersama KPDNHEP Kelantan telah melakukan intipan dan pemerhatian di lokasi.

"Semasa intipan dilakukan kelihatan sekumpulan lelaki sedang menyusun kotak-kotak berwarna coklat ke dalam dua buah lori dalam keadaan mencurigakan.

"Sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kumpulan lelaki yang sebelum itu sedang rancak memunggah kotak-kotak coklat itu terus melarikan diri bagaimanapun salah seorang daripada mereka ditahan," katanya pada sidang akhbar di Markas PGA Lubok Stol di sini pada Khamis.

Azhari berkata, rampasan minyak masak peket bersubsidi itu membabitkan nilai berjumlah RM33,600.

"Siasatan awal mendapati kawasan serbuan itu dijadikan sebagai lokasi transit.

"Kemudiannya, minyak-minyak masak itu akan dibawa ke sempadan untuk diseludup ke negara jiran menggunakan laluan tidak sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dalam serbuan di pangkalan haram Jitong pada Rabu.

Katanya, penahanan lelaki itu membawa rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM10,364.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!