Warga Pakistan dalang sindiket Rekalibrasi diberkas

Wang tunai dan pasport asing yang dirampas dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di dua buah premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Rabu.
Wang tunai dan pasport asing yang dirampas dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di dua buah premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang didalangi warga Pakistan menerusi serbuan di Jalan Ipoh di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas kira-kira jam 2.30 petang itu bertindak menyerbu dua buah premis di lokasi terbabit.

Menurutnya, operasi khas ini merupakan susulan daripada Ops Hack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lalu bagi mengesan saki-baki syarikat yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ Sistem MyIMMs.

"Operasi ini bertindak menahan seorang lelaki warga Pakistan berumur 39 tahun yang merupakan ‘mastermind’ sindiket.

"Turut ditahan ialah dua warga tempatan berusia 20 dan 24 tahun termasuk seorang wanita kerana bersekongkol dan melindungi dalang tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki Pakistan itu menggunakan PLKS palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur.

Imigresen menahan dalang sindiket warga Pakistan (kiri) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Rabu.
Imigresen menahan dalang sindiket warga Pakistan (kiri) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Khairul Dzaimee, sebanyak 81 naskhah pasport pelbagai negara (Pakistan, Bangladesh dan Vietnam) dan wang tunai berjumlah RM15,950 telah dirampas hasil pemeriksaan di premis terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, premis berkenaan dipercayai dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dengan bayaran di antara RM2,000 ke RM3,000 seorang.

"Berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dianggarkan telah membuat kutipan kira-kira RM243,000," katanya.

Jelasnya, modus operandi sindiket adalah mencari pelanggan dalam kalangan warga Pakistan terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dengan menawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi.

"Semakan awal ke atas pasport yang dirampas mendapati terdapat pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ yang ditumpaskan sebelum ini," katanya.

Tegasnya, orang ramai terutamanya warga asing dan majikan dinasihatkan supaya berurusan terus dengan Imigresen dan tidak menggunakan orang tengah atau agen dalam urusan Program Rekalibrasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!