Apa itu inkues kematian?

A
A
A

KOMPLEKS Mahkamah Shah Alam menjadi tumpuan apabila inkues kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim bermula minggu lepas.

Prosiding dijadualkan berlangsung selama 44 hari di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai ‘koroner’. Inkues dijangka memanggil lebih 30 saksi.

Apa itu inkues? Prosiding inkues sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Ia sebenarnya sudah termaktub dalam undang-undang jenayah negara, dalam Kanun Acara Jenayah, Bahagian VIII. Menurut undang-undang itu, apabila siasatan menunjukkan bahawa kematian itu disebabkan oleh kekerasan atau disebabkan oleh orang lain, maka suatu bedah siasat (post mortem) harus dilakukan.

Post mortem itu akan diberikan kepada seorang majistret. Melainkan majistret berpuas hati tentang punca kematian tersebut, majistret tersebut harus mengadakan inkues mengikut peruntukan Kanun Acara Jenayah.

Di samping itu, Peguam Negara juga punya kuasa untuk mengarahkan majistret untuk mengadakan inkues, atas alasan-alasan yang sama.

Walaupun dalam Kanun Acara Jenayah memperuntukkan bahawa inkues itu dijalankan oleh seorang majistret, tetapi mengikut Arahan Amalan yang telah dikeluarkan kini semua inkues akan dijalankan oleh seorang Hakim Mahkamah Sesyen.

Prosiding inkues berlangsung di mahkamah, tetapi ia berlainan dengan prosedur mahkamah yang biasa. Pertamanya, dalam prosiding inkues tiada ‘tertuduh’. Hanya ada saksi-saksi yang membantu inkues, yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya dan juga peguam-peguam yang mewakili ‘pihak-pihak berkepentingan’.

Siapa ‘pihak berkepentingan’? Antaranya, keluarga si mati, dan juga pihak berkuasa (seperti polis). Juga termasuk pihak-pihak lain, yang ditentukan oleh koroner. Dalam kes arwah Adib, ia termasuklah pihak bomba sendiri. Mengikut laporan, jawatankuasa kuil juga telah memohon untuk menjadi ‘pihak berkepentingan’, tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Kedua, dalam inkues, hanya timbalan pendakwa raya dan peguam pihak berkepentingan boleh mengajukan soalan-soalan kepada saksi-saksi yang hadir. Inkues bukan suatu prosiding di mana ada pihak bertentangan atau berlawan. Tujuan inkues adalah untuk mendapat tahu apa yang berlaku melalui saksi-saksi.

Prosiding inkues adalah terbuka kepada awam. Sesiapa sahaja boleh hadir untuk melihat prosiding yang sedang berlangsung. Oleh itu, ia membolehkan orang ramai melihat dan mendengar sendiri keterangan saksi-saksi.

Semasa inkues, koroner mesti setakat mampu membuat dapatan mengenai perkara-perkara seperti siapa si mati, bagaimana si mati meninggal dunia, bila si mati meninggal dunia, di mana si mati meninggal dunia, siapa yang menyebabkannya meninggal dunia dan sekiranya ada sesiapa yang membuat apa-apa tindakan yang menyebabkan kematian si mati, tanpa membuat dapatan tentang liabiliti jenayah.

Di akhir prosiding, koroner mesti membuat keputusan di antara tiga; keputusan terbuka (open verdict), kemalangan (misadventure) atau kematian disebabkan oleh orang, atau orang yang tidak diketahui.

Adalah hampir mustahil untuk menyembunyikan kebenaran melalui prosiding terbuka seperti ini, apatah lagi apabila terdapatnya pihak-pihak berkepentingan dan ia terbuka kepada awam. Maka, prosiding inkues adalah cara yang paling terbuka dan telus untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku pada malam rusuhan dan kecederaan arwah Adib yang membawa kepada kematian tragikya.

Kita semua mahukan keadilan buat arwah Adib. Jadi, untuk menentukan siapa yang perlu bertanggungjawab ke atas kematian arwah, inkues ini adalah cara yang terbaik untuk memastikan keadilan buat Adib.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!