Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM50,000

Antara mercun,bunga api yang dirampas pihak polis. -Foto ihsan PDRM
Antara mercun,bunga api yang dirampas pihak polis. -Foto ihsan PDRM
A
A
A

BENTONG - Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM50,000 di sebuah rumah sewa di Taman Desa Damai di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan dalam serbuan yang dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bentong.

Menurutnya, ketika serbuan suspek yang juga seorang penganggur mengaku sebagai penghuni rumah dan hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu menemui pelbagai jenis mercun serta bunga api.

"Semakan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek baru sahaja memiliki bahan tersebut dan menyimpan di dalam rumah itu sebelum dijual kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Jelasnya,siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti dari mana bahan tersebut diperoleh dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana- mana pihak supaya tidak menjual atau bermain mercun tanpa permit termasuk yang telah diubahsuai kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.

"Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mercun segera membuat aduan di balai polis berdekatan," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!