Dipukul majikan: Bersatu Selangor bantu mula saman ganti rugi
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor akan membantu dua pengawal peribadi yang mendakwa dipukul oleh majikannya kerana berpuasa untuk memulakan saman ganti rugi.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, buat masa ini kedua-dua mangsa terlibat tidak diwakili mana-mana peguam.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, suspek terlibat juga dikatakan akan didakwa dan diambil tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan Seksyen 506, 109/324 dan 298.
"Selain itu, panel peguam kami juga akan menulis surat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggesa mereka meneliti aspek undang-undang sama ada pihak terlibat khususnya suspek utama boleh ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) berikutan penghinaan ke atas agama Islam.
"Kami turut menggesa siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) berdasarkan laporan rampasan jongkong emas dan sejumlah wang besar selepas penahanan suspek," katanya pada sidang akhbar di Hotel Acapella, pada Khamis.
Rashid yang mewakili Bersatu Selangor turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua mangsa terlibat sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Rashid berkata, kedua-dua mangsa berkenaan juga akan diambil sebagai keluarga angkat Bersatu Bahagian Klang bagi membantu pihak terlibat sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu.
"Kami juga akan berusaha untuk membantu mereka mencari pekerjaan dengan segera," katanya.
Tambah Rashid, Bersatu Selangor turut mengucapkan syabas kepada pihak berkuasa khususnya PDRM yang mengambil tindakan tegas ke atas suspek selepas kejadian itu.
"Ini juga menunjukkan kerajaan tidak bertolak ansur terhadap perlakuan jenayah yang mencabar kebebasan beragama khususnya agama Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!