Bot nelayan tempatan, empat kru warga asing ditahan
KUANTAN - Cubaan kru sebuah bot nelayan tempatan melarikan diri ketika dihampiri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang membongkar rahsia mereka menggunakan permit kerja tamat tempoh dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mencurigakan.
Bot serta tekong dan tiga awak-awak warga Myanmar berusia 27 hingga 36 tahun itu ditahan kira- kira satu batu nautika tenggara Kuala Kuantan pada petang Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot dan kesemua lelaki warga asing itu dibawa ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Kuantan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan seberat satu tan turut dirampas.
"Bot nelayan tempatan Kelas C itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan Op Makmur bot Maritim Malaysia di sekitar perairan Kuala Kuantan.
"Ketika didekati untuk pemeriksaan, mereka cuba melarikan diri namun berjaya dihalang," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Amran berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melanggar syarat lesen dan syarat pas kerja.
Tambah beliau, komuniti maritim terutamanya nelayan digesa sentiasa mematuhi undang-undang dan syarat sah lesen serta mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.
"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut terus disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!