Penganggur pukul penghantar makanan mengaku tidak bersalah
GEORGETOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah mencederakan seorang penghantar makanan di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini pada pagi Jumaat.
Muhammad Aslam Hashim, 31, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap Koay Eng Tat, 40, dengan cara memukul menggunakan sebatang penukul terhadap mangsa di kepala.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Blok P, Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua pada jam 4 petang, 20 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jamaliah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Kes ditangguhkan sehingga 25 Mei depan untuk penyediaan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, seorang penghantar makanan cedera selepas dipukul seorang lelaki menggunakan penukul besi di pekarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini pada Selasa lalu.
Susulan daripada, mangsa menerima sembilan jahitan di kepala selepas dipukul suspek.
Polis kemudiannya menahan seorang penganggur berusia 31 tahun di rumahnya pada jam 11.15 malam, Rabu selain merampas penukul besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.
Sebelum kejadian, mangsa telah menghantar makanan yang ditempah oleh seorang wanita pada jam 4.10 petang.
Ketika mangsa tiba di kawasan perumahan itu, dia menunggu kedatangan pelanggannya itu namun tidak muncul.
Mangsa menunggu pelanggannya itu dalam tempoh yang agak lama untuk menyerahkan makanan yang ditempah lalu menghubungi wanita tersebut beberapa kali untuk memaklumkan bahawa dia sudah berada di lokasi, namun tidak dijawab.
Wanita tersebut hanya tiba dan mengambil makanannya selepas 10 minit kemudian.
Selepas 20 minit kemudian, mangsa dihubungi suami wanita tersebut dengan mengatakan ingin memulangkan semula makanan yang ditempah.
Mangsa kemudiannya ke lokasi itu semula dan berlaku pertengkaran antara suami wanita tersebut dengan mangsa.
Lelaki tersebut menuduh mangsa memarahi isterinya berhubung penghantaran makanan menyebabkannya memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!