Beri alasan lembutkan daging untuk naikkan harga
MELAKA - Segelintir peniaga daging kerbau import memberi alasan terpaksa melembutkan daging sejuk beku terlebih dahulu sebelum menjualnya dengan harga RM22 sekilogram (kg) berbanding harga terkawal RM20.
Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ia adalah daging dari India dan bukannya daging segar.
Menurutnya, pemeriksaan di Pasar Awam Bachang turut mendapati, kira-kira lima peniaga daging lembu ditegur kerana meletakkan tanda harga mengelirukan selain mengambil ringan untuk meletakkan tanda harga merah jambu sebagai tanda barangan terkawal.
"Daging kerbau sejuk beku murah berbanding daging segar, namun peniaga beri alasan nak lembutkan daging seperti daging segar dan tindakan ini tidak munasabah.
"Kita telah memberi amaran, sekiranya berulang lagi peniaga akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya pada sidang akhbar selepas pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Pasar Awam Bachang, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, semua barangan terkawal mencukupi dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang dan sebagainya.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi semasa, peniaga perlu bijak mendapatkan bekalan jualan dari pemborong yang menawarkan harga lebih murah agar tidak membebankan pengguna.
"Misalnya ada penjual ayam beri alasan terpaksa naikkan harga sebab dia mendapatkan bekalan dari pemborong atas pemborong dan telah lama mengenali pemborong itu.
"Penjual sepatutnya boleh mencari alternatif lain dengan mendapatkan bekalan lebih murah dari peladang atau pemborong lain dan mereka perlu bertimbang rasa dengan pengguna yang tertekan dengan kenaikan harga barang," katanya.
Tambahnya, kegagalan mematuhi akta tersebut mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 atau denda oleh mahkamah RM10,000 bagi individu manakala syarikat didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!