Kerajaan pastikan aktiviti tekan pengguna dibanteras
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan memastikan aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna berkaitan harga barangan keperluan dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi kerajaan berkaitan perlu berganding bahu mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu berkenaan.
“KPDNHEP dan agensi lain perlu berganding bahu menangani kenaikan harga barang keperluan dengan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada kakitangan KPDNHEP di sini pada Jumaat.
Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Rosol Wahid serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Muhyiddin berkata, kerajaan menyedari tindakan sebilangan pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan pada musim tertentu.
“Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar banyak keluhan daripada rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan keperluan utama apabila datangnya bulan Ramadan dan menjelangnya musim perayaan.
“Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil,” katanya.
Muhyiddin berkata, tindakan kerajaan melalui KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan pada Rabu adalah salah satu langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Beliau dalam masa sama turut menyeru agar rakyat memainkan peranan aktif untuk menyalurkan maklumat kepada kerajaan.
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, agenda pemulihan ekonomi negara akan diteruskan.
“Kerajaan telahpun menetapkan 10 asas penting bagi menentukan hala tuju negara pada masa hadapan merangkumi teras pemulihan ekonomi, merancakkan pertumbuhan ekonomi, pendidikan, reformasi sektor kesihatan, agenda bumiputera, jaminan makanan, integriti, keselamatan dan ketenteraman awam, perpaduan serta pendigitalan Malaysia.
“Bagi tujuan ini, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang telah diletakkan sebagai paksi dasar yang mempunyai matlamat untuk memastikan rakyat Malaysia mencapai taraf hidup yang lebih baik menjelang tahun 2030,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!