Usaha jadikan SMK Convent Bukit Nanas tapak warisan dibantah

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Warisan Negara telah berusaha untuk mewartakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas di sini sebagai tapak warisan sejak 2008 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan ada bantahan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jabatan itu memulakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen berkaitan bagi tujuan pewartaan sekolah tersebut di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada Mei 2008 setelah mengambil kira justifikasi sejarah, seni bina dan signifikan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun pada 12 Julai 2010 pihak pemegang amanah sekolah berkenaan telah menghantar Notis Bantahan kepada Pesuruhjaya Warisan, dan susulan itu satu sesi pendengaran diadakan pada 8 April 2011 bagi pemegang amanah menjelaskan alasan bantahan mereka.

“Pada 21 Julai 2011, setelah Pesuruhjaya Warisan memperhalusi dan mempertimbangkannya maka Pesuruhjaya Warisan memutuskan untuk tidak meneruskan penetapan sekolah tersebut sebagai tapak warisan di bawah Akta 645,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Usaha untuk mewartakan SMK Convent Bukit Nanas sebagai tapak warisan sejak 2008 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan ada bantahan.
Usaha untuk mewartakan SMK Convent Bukit Nanas sebagai tapak warisan sejak 2008 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan ada bantahan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan orang ramai berhubung ketiadaan usaha kerajaan untuk mewartakan SMK Covent Bukit Nanas sebagai tapak warisan di bawah Akta 645, mengambil kira kepentingan sumbangan sekolah itu kepada pendidikan negara sejak 1899.

Mengulas lanjut Nancy berkata, kementeriannya mengalu-alukan pemegang amanah menimbang dan mencalonkan SMK Convent Bukit Nanas untuk diwartakan sebagai tapak warisan bagi tujuan memulihara, memelihara dan melindungi warisannya.

Katanya, penetapan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 tidak akan menjejaskan pemilikan, jagaan dan pentadbiran tapak.

Artikel Berkaitan:

“Pewartaan tidak akan mengambil sebarang pemilikan tanah bahkan ia kekal di bawah pemilik rasmi sebagaimana yang tercatat dalam Carian Rasmi,” katanya.

Nancy juga menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama berganding bahu memulihara, memelihara dan melindungi warisan negara, baik yang telah diwartakan mahupun belum diwartakan.

Semalam, kerajaan bersetuju supaya tempoh pegangan pajakan tapak sekolah berkenaan yang akan tamat pada 6 September depan dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.

Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas sebelum ini memohon kepada kerajaan agar menimbang penyambungan tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pajakan tanah SMK Convent Bukit Nanas dilanjut 60 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!