Pemeriksaan fizikal kenal pasti haid jatuhkan maruah pelajar
SHAH ALAM - Amalan pemeriksaan fizikal oleh guru di beberapa sekolah untuk memastikan haid pelajar merupakan tindakan yang tidak wajar dan menjatuhkan maruah pelajar.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan tersebut jelas melanggar privasi dan antara gangguan serta penderaan terhadap fizikal pelajar.
“Menggunakan alasan bagi melakukannya atas nama disiplin dan pendidikan adalah sesuatu tidak dibenarkan dalam mana-mana pedagogi, budaya, agama atau norma,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan dakwaan kejadian warden asrama dan pengawas yang meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka mengalami haid.
Pada masa sama, laporan tersebut turut mendakwa bahawa ada pelajar yang diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pendidikan seharusnya memberikan penekanan mengenai cinta, kebahagiaan, memelihara integriti dan martabat, rasa tanggungjawab, dan saling menghormati.
Sehubungan itu, beliau berkata, kes itu seharusnya dihentikan kerana ia sesuatu yang memalukan.
“Pelajar sekolah kita harus dijaga keselamatannya di sekolah dan dilindungi daripada sebarang bentuk bahaya dan penderaan,” ujar Maszlee.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!