1,536 premis perniagaan diperiksa sepanjang Ramadan
GEORGETOWN - Sebanyak 1,536 premis perniagaan diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam operasi pemantauan harga dan bekalan barang keperluan asas sepanjang bulan Ramadan.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemantauan yang dijalankan sejak 13 April lalu mengesan pelbagai kesalahan dilakukan peniaga termasuk 10 kes telah diambil terhadap mereka.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan ialah empat kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, tiga kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selain dua kes Akta Timbang Sukat 1972 serta satu kes di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999.
"Selain itu tindakan turut diambil terhadap tujuh peniaga mengikut Seksyen 21 melalui Ops Ayam di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah berkuat kuasa sejak 15 April 2021 sehingga 22 April 2021," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, bermula Januari lalu sehingga April sebanyak 8,668 pemeriksaan pematuhan SOP dijalankan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.
Katanya, dalam tempoh itu tiga tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Berdasarkan pemeriksaan yang telah dijalankan mendapati bekalan dan harga barangan keperluan asas mencukupi.
"Sehubungan itu, KPDNHEP Pulau Pinang menasihatkan pengguna supaya bijak berbelanja serta peniaga diingatkan untuk memastikan penandaan harga barangan jualan dipamerkan dengan jelas bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat harga sebelum melakukan pembelian," katanya.
Mohd Ridzuan turut memberi peringatan kepada peniaga agar tidak mengambil kesempatan untuk menyorokkan atau menaikkan harga barang keperluan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba.
Jelasnya, sekiranya kesalahan itu dikesan, KPDNHEP Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!