PM Singapura umum rombakan kabinet, Swee Keat kekal sebagai TPM
SINGAPURA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan rombakan kabinet yang akan berkuat kuasa 15 Mei depan dan menyaksikan tujuh portfolio bertukar tangan dengan Heng Swee Keat kekal sebagai timbalan perdana menteri.
Rombakan itu berlaku dua minggu setelah Swee Keat memutuskan untuk mengundur diri sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).
"Dua minggu lepas, saya memberitahu anda bahawa kami akan melakukan rombakan kabinet. Hari ini, saya mengumumkan barisan baharu. Kali ini, rombakan secara besar-besaran berbanding rombakan biasa dan dilakukan awal dalam pentadbiran kerajaan,” kata Hsien Loong pada sidang media di Istana pada Jumaat.
Transkrip ucapan Hsien Loong pada sidang media itu disediakan untuk media.
Rombakan itu juga akan menyaksikan Swee Keat terus memegang jawatan sebagai Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi, namun melepaskan portfolio sebagai Menteri Kewangan yang akan dijawat oleh Lawrence Wong.
"Lawrence telah membantu Swee Keat sebagai Menteri Kedua sejak 2016, oleh itu beliau mempunyai pengalaman diperlukan dan amat sesuai untuk jawatan itu," kata Hsien Loong sambil menambahkan bahawa pasukan Kementerian Kewangan kekal tidak berubah. Indranee Rajah juga kekal sebagai Menteri Kedua.
Hsien Loong juga memaklumkan apabila berlaku perubahan pada jawatan menteri kewangan, maka ia secara tidak langsung akan mengakibatkan berlaku lantikan jawatan-jawatan lain. Beliau juga menambah akan berlaku pertukaran jawatan menteri kesihatan, tenaga kerja, dan perdagangan dan industri.
"Menteri-menteri ini adalah menteri barisan hadapan yang berurusan dengan Covid-19 dan kesannya. Saya mempertimbangkan untuk membuat perubahan ini selepas PRU (Pilihan Raya Umum) tahun lalu, tetapi ketika itu kita masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19.
"Pada ketika itu, saya memutuskan untuk kita membiarkan menteri menjalankan tugas dan memberi tumpuan untuk memerangi wabak Covid-19. Kini, keadaan Covid-19 lebih stabil, semestinya pasti saya akan melakukan perubahan ini," katanya.
Hsien Loong berkata, dengan melepaskan portfolio kewangan, Swee Keat akan dapat memberikan lebih tumpuan terhadap agenda ekonomi negara termasuk mempengerusikan Majlis Ekonomi Masa Hadapan dan menggabungkan saranan Pasukan Petugas Lebih Kukuh untuk dilaksanakan majlis berkenaan.
Menjelaskan lanjut mengenai rombakan itu, beliau berkata, Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan baharu, mengambil alih jawatan daripada Lawrence Wong sementara Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong akan dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.
Ong Ye Kung akan mengambil alih tugas daripada Kim Yong sebagai Menteri Kesihatan dan menyerahkan portfolio Pengangkutannya kepada S. Iswaran yang akan kekal memegang jawatan sebagai menteri bertanggungjawab mengenai hubungan perdagangan dalam Kementerian Perdagangan dan Industri, namun melepaskan jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Maklumat.
Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Maklumat tetapi akan terus menjawat menjadi Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri.
Dr Tan See Leng akan dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia yang baharu. Beliau akan kekal sebagai Menteri Perdagangan dan Industri Kedua.
“Jawatan menteri lain, tidak berubah," kata Hsien Loong sambil menambahkan bahawa sebahagian besar menteri 4G (generasi keempat) telah menimba pengalaman dalam pelbagai portfolio.
"Rombakan Kabinet kali ini akan membolehkan mereka memperoleh pengalaman dan pendedahan baharu. Mereka harus segera melaksanakan tugas, meskipun situasi Covid-19 negara kita semakin stabil kini, namun kita masih berada dalam krisis kesihatan awam dan ekonomi.
"Rombakan ini juga memberi mereka peluang bekerja secara bersama-sama dalam kapasita baharu, agar mereka dapat saling memahami kohesi antara satu sama lain serta memperkukuhkan kerjasama sebagai satu pasukan.
“Persiapan pasukan baharu ini akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk mengambil alih kepimpinan daripada saya dan rakan-rakan yang lebih berusia," kata Hsien Loong. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!