Populariti Muhyiddin kekal stabil
KUALA LUMPUR - Populariti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal stabil iaitu pada tahap sokongan 67 peratus mengikut tinjauan terbaru badan kajian Merdeka Center.
Merdeka Center dalam satu kenyataan berkata, peratusan tersebut menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 63 peratus yang dicatatkan pada akhir Januari 2021.
"Pengundi Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 83 peratus diikuti masyarakat India 66 peratus, manakala kaum Cina 30 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, kajian tersebut dilakukan daripada 31 Mac hingga 12 April lalu terhadap 2,111 responden membabitkan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di seluruh semenanjung negara dengan menemuramah mereka melalui panggilan talian tetap dan telefon bimbit.
Responden tersebut terdiri daripada 64 peratus Melayu, 28 peratus Cina, lapan peratus India yang dipilih secara rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.
Jelas kenyataan tersebut, tinjauan pihaknya juga mendapati bahawa mood masyarakat mengenai arah negara berbeza dengan 41 peratus menyatakan bahawa Malaysia bergerak ke arah yang benar, sementara 46 peratus beranggapan negara menuju ke arah yang salah.
"Pandangan ini menunjukkan perubahan yang ketara sejak Januari 2021, ketika 32 peratus merasakan negara ini menuju ke arah yang benar dan 54 peratus berpandangan Malaysia menuju ke arah yang salah.
"Mereka yang berpandangan bahawa negara menuju ke arah yang benar positif terhadap pentadbiran serta pengiktirafan bahawa kesejahteraan masyarakat dijaga.
"Manakala yang merasakan negara menuju ke arah yang salah berpendapat kebimbangan mengenai politik kestabilan dan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan," kata kenyataan tersebut.
Bagi masalah yang menjadi perhatian pengundi, keadaan ekonomi tetap menjadi perhatian utama iaitu 57 peratus diikuti oleh pandemik Covid-19 pada 16 peratus, sementara politik adalah yang ketiga terendah iaitu hanya sebanyak 2.4 peratus direkodkan semasa ditemu ramah.
"Kebimbangan terhadap ekonomi disokong oleh keadaan kewangan peribadi pengundi di mana 57 peratus melaporkan bahawa keadaan mereka teruk berbanding tahun lalu sebelum kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Berkenaan dengan pandangan mereka mengenai ekonomi negara, 68 peratus berpendapat bahawa keadaan ekonomi negara masih teruk berbanding tahun lalu.
"Perkara tersebut sangat mempengaruhi pandangan pengundi mengenai pengendalian ekonomi oleh kerajaan" katanya.
Menurut kenyataan tersebut, mereka juga mendapati 51 peratus pengundi melaporkan bahawa mereka berpuas hati dengan ekonomi yang dilakukan kerajaan pada masa kini sementara 43 peratus tidak berpuas hati.
Bagi pengurusan pandemik Covid-19 oleh kerajaan, tinjauan yang sama mendapati bahawa majoriti pengundi 70 peratus berpuas hati dengan bagaimana kerajaan menangani masalah tersebut.
"Ini menunjukkan peningkatan di mana sebelum ini mencatatkan 53 peratus yang direkodkan pada Januari 2021 (pada masa ketika jangkitan harian melebihi 4,000 kes)," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, tinjauan turut mendapati, sejumlah 74 peratus pengundi secara konsisten berpendapat bahawa kerajaan telah membantu rakyat yang memerlukan bantuan dalam tempoh pandemik berbanding dengan 25 peratus yang tidak berpuas hati.
Selain itu, 56 peratus pengundi merasa puas bahawa pemerintah mempunyai visi yang jelas tentang apa yang diperlukan untuk memulihkan negara sementara 35 peratus tidak berpuas hati.
"Pada pandangan kami, tinjauan ini menunjukkan pengundi di Semenanjung Malaysia menunjukkan beberapa tanda optimisme setelah pembukaan semula ekonomi seiring dengan permulaan program vaksinasi.
"Ia dilihat dalam sokongan kepada Perdana Menteri yang masih kukuh dan keyakinan dalam menangani wabak Covid-19 serta ekonomi,' katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pemberian bantuan kewangan kepada isi rumah dan beberapa perniagaan yang terjejas oleh ekonomi, kesukaran yang disebabkan oleh wabak penyakit dan juga kelonggaran yang diberikan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkatkan persepsi masyarakat terhadap kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!