Reman suspek kes bunuh Siti Masitah dilanjut
KUANTAN - Reman terhadap suspek kes bunuh kanak-kanak Siti Masitah Ibrahim, 11, dilanjutkan sehingga 24 Februari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek telah dibacakan di Mahkamah Majistret Pekan, semalam.
Menurutnya, tempoh lanjutan reman dibenarkan selama tujuh hari mulai 18 Februari hingga 24 Februari.
ARTIKEL BERKAITAN: Lambaian terakhir Siti Masitah
Demi ALLAH, saya tak pernah bergaduh dengan dia: Ibu Siti Masitah
Katanya, polis masih menunggu laporan lanjut analisa forensik sebelum mayat boleh dituntut.
Mayat Siti Masitah ditemui di ladang kelapa sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan Sabtu minggu lalu dalam keadaan beberapa anggota badan termasuk kepalanya terpisah daripada tubuh.
Siti Masitah dilaporkan hilang kira-kira jam 6.30 petang, 30 Januari lalu selepas dilihat keluar rumah menunggang basikal dan ibunya membuat laporan polis pada jam 11 malam hari yang sama.
Susulan penemuan mayat itu, seorang lelaki warga Kemboja berusia 23 tahun ditahan 31 Januari lalu dan direman sehingga semalam sebelum tempoh itu dilanjutkan.
Lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!