Pemandu treler terjunam dalam tasik ditemukan lemas
GUA MUSANG - Pemandu treler yang terjunam ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Gua Musang-Lojing pada petang Khamis ditemukan mati lemas tengah hari Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Kamarulzaman Sallehuddin, 33, dari Padang Rengas, Perak ditemukan tersepit di dalam treler yang membawa muatan balak itu, selepas treler itu diangkat naik ke darat menggunakan dua kren pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Beliau berkata, dalam kejadian yang berlaku pada Khamis itu, Kamarulzaman dikatakan sedang dalam perjalanan membawa kira-kira 50 batang balak ke pusat timbang balak di Kampung Kuala Betis.
“Operasi mencari dan menyelamat telah bermula sejak petang semalam (Khamis) namun dia gagal ditemui kerana tasik itu dalam, selain halangan kayu balak yang masih berada di kawasan treler yang terbalik,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
“Pagi tadi, dua kren digunakan untuk mengangkat bahagian kepala treler yang berada di dalam tasik itu, sebelum mayat ditemukan di dalam kenderaan itu dan berjaya dikeluarkan pada jam 2.30 petang tadi,” tambahnya.
Choon Foo berkata mayat telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!