PM Singapura dijadual hadiri mesyuarat pemimpin ASEAN di Jakarta
SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan menghadiri Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN di Jakarta esok (Sabtu), menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, PMO mengatakan Hsien Loong akan diiringi Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, serta para pegawai daripada Kementerian Luar.
Menurut kenyataan itu, pertemuan itu diatur oleh Brunei, sebagai Pengerusi ASEAN 2021, dan akan berlangsung di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia.
Para pemimpin ASEAN akan membincangkan situasi di Myanmar, yang memberi kesan serius terhadap keamanan dan kestabilan ASEAN dan rantau ini, kata PMO.
Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean akan memegang tugas sebagai Pemangku Perdana Menteri ketika ketiadaan Hsien Loong, katanya.
Selain Hsien Loong dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin lain yang telah mengesahkan kehadiran mereka setakat ini menurut laporan media termasuk Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan o-Cha tidak akan hadir tetapi akan diwakili oleh menteri luar masing-masing Teodoro Locsin Jr dan Don Pramudwinai.
Sementara itu, wartawan Bernama di Jakarta Mohd Sukri Ishak melaporkan bahawa Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi mengatakan hanya pemimpin Thailand, Laos dan Filipina tidak akan menghadiri pertemuan esok (Sabtu).
Retno berkata demikian semasa sidang media yang disiarkan melalui youtube daripada Sekretariat Presiden.
Retno berkata, Prayut telah memohon maaf kepada Widodo kerana tidak menghadiri perjumpaan itu berikutan keadaan Covid-19 di Thailand.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut sebab dua pemimpin lain tidak hadir.
“Kita berharap agar ALM (ASEAN Leaders Meeting) esok akan dicapai kesepakatan mengenai langkah-langkah yang baik bagi rakyat Myanmar," kata Retno. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!