KDA FC atasi KL City pada minit akhir
ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC dipaksa sehingga minit akhir perlawanan sebelum bangkit menjinakkan Kuala Lumpur City FC 3-2 pada aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Terdahulu KDA FC dilihat lebih bernafsu pada separuh masa pertama apabila sekurang-kurangnya memperolehi empat percubaan tepat berbanding Kuala Lumpur yang memperolehi satu percubaan tepat.
Bagaimanapun pujian wajar diberikan kepada barisan pertahanan pelawat dan penjaga golnya, Kevin Ray Mendoza Hansen yang menafikan percubaan Hijau Kuning.
Bagaimanpun pelawat terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke- 48 menerusi Paulo Josue yang merembat masuk gol hasil hantaran Hadin Azman untuk berada di hadapan 1-0.
Terkejut dengan jaringan tersebut, tuan rumah mengandakan asakan untuk memburu gol penyamaan.
Asakan berterusan tersebut akhirnya berhasil menerusi gol penyamaan Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada minit ke-70 yang menerima hantaran Tchetche Kipre untuk kedudukan 1-1.
Kl City FC kembali berada di hadapan 2-1 pada minit ke- 78 hasil tandukan pertahanannya, Giancarlo Gallifuoco yang menerima hantaran sepakan sudut oleh Paulo.
Tuan rumah kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-92 selepas Kipre menyempurnakan sepakan penalti untuk keputusan 2-2 selepas Rozaimi Abd Rahman dijatuhkan dalam kotak penalti.
Selang dua minit kemudian, Kipre memastikan tiga mata penuh buat KDA FC apabila merembat terus ke dalam gol pelawat untuk keputusan penuh 3-2 selepas menerima hantaran menarik daripada Renan Alves.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!