Tolak tawaran belajar di universiti demi jaga ibu bapa strok
JOHOR BAHRU - Dua beradik di Taman Rinting, Masai di sini terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perlis dan berhenti belajar di Tingkatan Enam demi mahu menjaga ibu bapa mereka yang diserang strok.
Syahira Mohamat, 19, berhenti belajar Tingkatan Enam apabila bapanya, Mohamat Md Noh, 68, diserang strok hingga terlantar sejak awal Februari lalu.
Sebelum itu katanya, kakaknya, Jamilah Mohamat, 26, menolak tawaran menyambung pelajaran ke UiTM Perlis sembilan tahun lalu kerana mahu menjaga ibunya yang strok dan mengalami sakit buah pinggang.
"Sebelum jatuh sakit bapa bekerja kontrak sebagai pemandu trak angkat susun selain turut membantu kakak saya, Jamilah, dalam menguruskan keperluan ibu, Asmah Mohd Yatim, 58.
"Malangnya bapa turut hilang upaya dan kini memerlukan penjagaan dan bantuan ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam dan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi di rumahnya pada Khamis.
Syahira berkata, apabila bapanya hilang punca pendapatan bulanan RM500, keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan Jamilah yang bekerja sebagai kerani di kedai jual kereta sebanyak RM1,200 sebulan.
Menurutnya, pendapatan kakak juga terjejas apabila kerap bercuti bagi mengurus ibu.
"Kami buntu apabila perlu membiayai kos bagi prosedur pemasangan jantung ibu sebanyak RM13,000 namun dengan bantuan orang ramai, akhirnya kami berjaya mengumpul dana.
"Alhamdullilah, ibu berjaya menjalani pembedahan semalam (Rabu) dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.
Katanya yang memasang impian menjadi guru Bahasa Inggeris, dua minggu sekali dia perlu menukar tiub di hidung bapa selain tiub air kencingnya dengan dipantau pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan.
Menurut Syahira, bagi kakaknya, cabarannya lebih berat kerana dia perlu mengurus perbelanjaan keluarga termasuk keperluan ibu bapa yang mencecah RM1,500 sebulan.
"Selain membeli susu khas disyorkan doktor untuk mereka, bapa juga memerlukan lampin pakai buang. Setakat ini kami menerima bantuan RM400 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selain baru memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Rakyat bernombor 220791685620 atas nama Jamilah Mohamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!