Polis masih jalankan siasatan kes pelajar lemas
KOTA KINABALU - Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes melibatkan seorang pelajar lelaki yang lemas ketika mengikuti sesi belajar berenang di kolam renang Kompleks Sukan Likas, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan itu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian jika wujudnya unsur-unsur kecuaian atau jenayah.
“Beri sedikit masa kepada pihak polis untuk menyelesaikan isu itu untuk mengetahui punca kejadian dan difahamkan keluarga mangsa tidak berpuas hati terhadap beberapa pihak tertentu berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ‘Jom ke Sekolah’ peringkat daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun bersama sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah di Luyang didapati lemas sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II dan disahkan meninggal dunia pada 12.38 tengah hari.
Mengenai program itu, Habibi berkata, polis sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung masalah sosial dari peringkat awal khususnya dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, polis turut menempatkan pegawai polis di sekolah menengah dan rendah untuk memantau sebarang aktiviti melibatkan jenayah di sekolah.
Sementara itu, Pengetua SMK Inanam Mozidah Hamzah berkata, selain mempunyai persatuan kadet polis di sekolah berkenaan, kerjasama itu juga dilihat akan meningkatkan kesedaran komuniti untuk menggalakkan pelajar ke sekolah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!