Utamakan kemaslahatan, elakkan kemudaratan
SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahad ini diharap dapat mencapai kata sepakat dan tidak mendatangkan mudarat buat parti Melayu terbesar itu, kata Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
“Saya harap apa jua keputusan ia akan membawa kemaslahatan buat UMNO, bukannya kemudaratan.
“Namun jika ia tetap mudarat, biarlah ia mudarat yang lebih ringan dan bukannya berat,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Isu panas yang dijangka menjadi tumpuan pada mesyuarat itu termasuklah hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan Jun ini.
Mesyuarat MKT itu adalah kali pertama diadakan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 bulan lalu.
“Saya berharap keputusan yang diambil turut memberikan satu jaminan buat UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” kata Fathul Bari.
Seorang lagi Ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira berkata, segala keputusan mengenai hala tuju UMNO tidak semestinya perlu dibuat secara tergesa-gesa pada mesyuarat itu, sebaliknya mesti dibincang dan diperhalusi dengan teliti.
“Duduk bincang elok-elok, kalau ada yang tak setuju pun tak adalah sampai nak baling kerusi dan campak botol, itulah cantiknya UMNO.
“Semua pihak boleh cakap macam-macam, tapi yang buat keputusan adalah Presiden UMNO. Jadi kalau tak perlu buat keputusan sekarang, maka tak perlulah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!