Pengurus bank mahu pinjam RM250,000 tapi rugi RM32,970
KUANTAN - Hasrat seorang pengurus bank untuk meminjam RM250,000 melalui sebuah syarikat secara dalam talian tidak kesampaian apabila tawaran yang diiklankan melalui laman sosial Facebook itu sebenarnya tidak wujud.
Lebih malang, wanita berusia 32 tahun itu terpaksa menanggung kerugian RM32,970 selepas membuat beberapa bayaran untuk proses kelulusan pinjaman berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran iklan pinjaman ditawarkan sebuah syarikat melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu pada Isnin lalu.
Menurutnya, selepas mengisi maklumat peribadi dan nombor telefon, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat itu untuk meminta nombor kad pengenalan dan slip gaji.
"Selepas menyerahkan dokumen yang diminta, mangsa kemudian dimaklumkan pinjaman sebanyak RM250,000 itu telah lulus dan dia diminta membayar duti setem RM1,250.
"Mangsa membuat bayaran itu pada Khamis melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Wazir berkata, bukan setakat itu, mangsa juga diminta membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan hingga memaksa wanita itu akur dan melakukan enam transaksi pembayaran melalui lima akaun bank atas nama individu berbeza.
"Mangsa syak telah ditipu selepas ejen tersebut gagal dihubungi setelah bayaran dibuat lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Jumaat," katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!