Aidil Sharin puji semangat juang Hijau Kuning
ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak kagum dengan semangat juang anak-anaknya apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir untuk mengecewakan Kuala Lumpur City FC pada perlawanan Liga Super 2021 dengan keputusan 3-2 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Semasa tiga mata dilihat seolah-olah bakal menjadi milik KL City FC pada penghujung perlawanan itu, namun gol penalti pada minit ke-92 dan rembatan cantik pada m-94 oleh Tchetche Kipre meranapkan harapan The City Boys sekelip mata.
Jelas Aidil Sharin, bukan mudah buat pasukannya mengatasi pasukan pelawat kerana tampil dengan disiplin tinggi dan juga berjaya mempamerkan aksi bertahan dengan baik sepanjang perlawanan berlangsung.
"Sikap yang ditunjukkan oleh pemain KDA FC yang tidak berputus asa yang menyaksikan kita berjaya meraih tiga mata pada aksi ini.
"Secara keseluruhan saya sendiri tidak percaya dalam tempoh beberapa minit masa kecederaan kita masih boleh mengutip tiga mata penuh," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan ke-10 Liga Super 2021 pada Jumaat.
Mengulas lanjut, kredit perlu diberikan kepada semua pemain Hijau Kuning yang terus mengasak kubu pelawat sehingga minit-minit akhir perlawanan.
Jelasnya, beliau juga perlu memberikan kredit kepada pemain-pemain mudanya kerana berjaya mengubah tempo perlawanan terutamanya pada penghujung babak kedua pada aksi tersebut.
"Saya juga selalu percaya kepada pemain-pemain muda saya (seperti Mohammad Fayadh dan Fazrul Danel) kerana apabila disenaraikan mereka mahu membuktikan sesuatu.
"Saya harap prestasi mereka akan semakin baik selepas hadapi perlawanan demi perlawanan dan sekarang boleh dilihat mereka semakin matang serta berharap akan dapat terus membantu pasukan," katanya.
Pada aksi tersebut, satu lagi gol tuan rumah berjaya dihasilkan oleh Mohammad Fayadh pada minit ke-70, manakala gol pasukan pelawat dihasilkan melalui Paulo Josue (m-48) dan Giancarlo Gallifuoco (m-78).
Pada perlawanan ke-11 Liga Super 2021, Hijau Kuning akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat pada 30 April untuk bertemu Melaka United FC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!