495,750 individu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19
KUALA LUMPUR - Sebanyak 495,750 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Jumaat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, 783,987 individu telah menerima dos pertama menjadikan keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini berjumlah 1,279,737 dos.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan melalui laman Twitter rasminya pada Sabtu, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 103,613, diikuti Kuala Lumpur (87,603), Sarawak (74,154), Johor (71,609) dan Sabah (65,940).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 70,468, diikuti Perak (49,958), Sarawak (48,444), Sabah (45,253) dan Kuala Lumpur (44,379).
Mengenai jumlah individu yang berdaftar untuk program imunisasi, Dr Adham berkata, setakat Jumaat, sebanyak 9,225,268 atau 38 peratus daripada disasarkan telah mendaftar dengan Selangor kekal mencatat angka tertinggi sebanyak 2,406,238 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!