MAIWP santuni dua ibu tunggal
KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Sabtu menyantuni dua ibu tunggal bagi menyampaikan bantuan sempena ziarah asnaf di kawasan Parlimen Wangsa Maju.
Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya menyerahkan bantuan sewa rumah, makanan, perubatan, peralatan kesihatan dan kewangan bulanan kepada kedua-dua ibu tunggal itu.
“Kesemua bantuan yang diberikan ini merupakan hasil kutipan wang zakat oleh pembayar-pembayar zakat di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah rumah penerima di Desa Setapak di sini pada Sabtu.
Mohd Daud berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai untuk melaporkan jika terdapat asnaf di kawasan mereka yang memerlukan bantuan segera melalui Aplikasi Mobile Jejak Asnaf.
“MAIWP mahu semua asnaf yang ada di Kuala Lumpur ini disantuni dengan segera, dan saya mohon orang ramai membantu MAIWP dalam menjejaki golongan ini,” katanya.
Pada program berkenaan, MAIWP menyampaikan bantuan kewangan bulanan, sewa rumah, perubatan am dan peralatan kesihatan kepada Wan Nor Fazilah Muhammad Saad, 36, seorang ibu tunggal yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga ayahnya yang terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak empat tahun lepas.
Beliau yang menyewa di Flat Taman Melati, Setapak itu mempunyai empat anak berumur antara 14 tahun hingga 20 tahun dengan perbelanjaan keluarga berkenaan kini ditanggung oleh anak lelaki sulungnya.
Sementara itu, penerima bantuan kedua, Siti Hajar Mohamad Ripaia, 25, mengucapkan terima kasih atas bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan persekolahan daripada MAIWP itu.
Siti Hajar yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga lapan tahun dan menyewa sebuah bilik di Desa Setapak dengan bayaran RM250 sebulan.
“Sebentar tadi datuk (Pengerusi MAIWP) ada beritahu mereka akan membantu saya untuk mencari sebuah rumah berhampiran yang selesa untuk saya dan anak-anak. Saya amat berterima kasih kepada MAIWP kerana anak saya akan dapat hidup dengan selesa kelak,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!