Individu dakwa polis lakukan pemerasan diminta tampil
KUALA LUMPUR - Polis memohon kerjasama seorang individu untuk hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terhadap anggota polis yang didakwa melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, individu berkenaan telah memuat naik posting di Twitter atas nama Pie-U Ammar Amin bertarikh 22 April yang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap anggota polis yang didakwa melakukan pemerasan.
"Polis Dang Wangi mengambil maklum berkaitan isu ini dan memohon individu berkenaan supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan.
"Polis Dang Wangi juga memohon orang ramai agar tidak menularkan posting tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran awam," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Mohamad Zainal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Sebelum ini, tular di media sosial posting seorang individu bernama Pie-U Ammar Amin yang mendakwa anggota polis melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!