Kayu cengal rahsia keenakan nira kelapa

Harun menunjukkan air nira atau digelar juga sebagai air tuak di kediamannya di Kampung Padang Hangus, Tepoh di Kuala Nerus.
Harun menunjukkan air nira atau digelar juga sebagai air tuak di kediamannya di Kampung Padang Hangus, Tepoh di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Keratan kayu cengal yang diletakkan di dalam bekas tadahan nira kelapa berfungsi sebagai bahan pengawet semulajadi yang memberikan aroma istimewa serta dapat memastikan minuman itu tahan lebih lama dan tidak masam.

Penyadap nira, Harun Ali, 65, berkata, pelbagai kaedah digunakan bagi memastikan kualiti cairan manis yang diperoleh daripada mayang kelapa itu terjaga sebelum melalui proses tapisan untuk membuang mendapan keladak yang terkumpul.

"Biasanya penyadap nira kelapa akan menggunakan beberapa jenis kayu untuk diletakkan di dalam bekas tadahan. Ada juga yang guna kayu pokok gajus bergantung kepada citarasa masing-masing.

"Saya pula lebih gemar menggunakan kayu cengal kerana air nira yang terhasil lebih sedap. Jika tidak diletakkan kayu ini air nira akan cepat rosak dan rasanya masam," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Harun, Ramadan kali ini merupakan tahun ketiga dia menjalankan perniagaan nira kelapa di kediamannya di Kampung Padang Hangus di sini.

Katanya, air nira yang dijualnya asli dan tiada campuran bahan lain seperti tambahan air kelapa bagi mendapatkan kuantiti banyak seperti segelintir dijual di pasaran.

"Air nira kelapa original hanya diperoleh daripada mayang kelapa dan tidak ditambah bahan lain. Rasanya juga lebih sedap," katanya.

Air nira seberat 500 ml sebotol dijual pada harga RM5.
Air nira seberat 500 ml sebotol dijual pada harga RM5.

Artikel Berkaitan:

Harun berkata, sebanyak 10 hingga 15 botol nira kelapa seberat 500 mililiter (ml) setiap satu dijual pada harga RM5 habis dijual setiap hari.

"Sudah menjadi kelaziman setiap kali Ramadan, kebanyakan penggemar nira kelapa akan mendapatkan minuman itu untuk dijadikan penyejuk badan selepas seharian berpuasa.

"Saya tidak menang tangan untuk menyediakan nira kelapa. Sebab itulah setiap kali Ramadan saya fokus untuk menjual air nira. Hari biasa pun ada tetapi bergantung kepada permintaan," katanya.

Menurutnya, proses penyediaan air nira yang segar daripada pohon kelapa memakan masa sekitar setengah jam bagi mendapatkan kuantiti sekitar 500ml hingga 1 liter.

Katanya, proses itu dilakukan sebanyak dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang.

"Proses yang agak rumit ketika permulaan untuk memilih bahagian mayang kelapa yang sesuai yang akan mengeluarkan cecair ditoreh.

"Mayang kelapa yang muda dan bersaiz sederhana akan diikat selama seminggu sebelum boleh dibuka untuk mendapatkan airnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!