Neitzel tetap puas bawa pulang satu mata
PENGENDALI Selangor FC, Karsten Neitzel tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad kendaliannya walaupun diikat 2-2 ketika berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada Jumaat.
Menurut Neitzel, The Red Giants telah mempamerkan aksi terbaik khususnya pada separuh masa kedua bagi menambah jaringan pada perlawanan berkenaan.
“Saya akui, kami tidak beraksi baik pada awal perlawanan apabila bergelut untuk mengawal bola dengan baik. Pemain juga dilihat tertekan dengan asakan Sabah FC menerusi serangan balas mereka.
“Bagaimanapun, benteng pertahanan kami berjaya mengekang asakan-asakan itu dengan baik. Kami dapat peluang jaringkan tiga gol tetapi kami berjaya menjaringkan dua gol. Kami sepatutnya boleh menang tapi tak berjaya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, bekas tonggak Gergasi Merah, Mohd Amri Yahya, menjaringkan gol sulung Sabah FC pada minit ke-31 sebelum penyerang import Selangor FC, Ifedayo Olusegun menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 dan menambah gol kedua pada minit ke-72.
Kedua-dua gol bagaimanapun tidak melemahkan semangat pelawat untuk terus mengasak ke kubu Selangor FC dan akhirnya pemain gantian, Bobby Gonzales menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Mengulas mengenai tanggapan yang mengatakan Olusegun sebagai pemain terbaik perlawanan, Neitzel berkata, perkara berkenaan bukanlah sesuatu yang penting ketika ini.
Katanya, kesemua pemain Selangor FC, boleh dilabel selaku pemain terbaik berikutan aksi cemerlang yang dipamerkan setakat ini.
“Bagi saya, ia bukan masa untuk saya memikirkan siapakah pemain terbaik perlawanan ini; kerana jika Ifedayo menjaringkan dua gol, sekali gus dialah pemain terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!