Krisis Myanmar: Pemimpin ASEAN capai lima kata sepakat
JAKARTA - Pemimpin negara-negara anggota ASEAN mencapai lima kata sepakat mengenai krisis Myanmar selepas rampasan kuasa pada mesyuarat khas pemimpin blok serantau itu di sini pada Sabtu.
"Kami, sebagai sebuah keluarga ASEAN, telah mengadakan perbincangan tentang perkembangan di Myanmar baru-baru ini dan menzahirkan keprihatinan mendalam kami terhadap situasi di negara itu, termasuk laporan kematian dan peningkatan keganasan.
"Kami mengakui peranan positif dan konstruktif ASEAN dalam memudahkan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat Myanmar dan mata pencarian mereka dan oleh itu, bersetuju dengan ‘Konsensus Lima Perkara’," demikian menurut Pernyataan Pengerusi mengenai Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN yang dikeluarkan oleh laman sesawang Pengerusi Brunei Darulsalam di www.asean2021.bn pada Jumaat.
Mengenai situasi di Myanmar, kesemua pemimpin mencapai kata sepakat seperti berikut:
Pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang.
Kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat.
Ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN.
Keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
Kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.
Mesyuarat Pemimpin ASEAN itu berlangsung di Sekretariat ASEAN di Jakarta dan dipengerusikan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!