Atondra: Guru, mentor, aktivis
BAB ke-64 buku saya, Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad (DBP, 2017) membawa judul “Drama TV: Mendapat Bimbingan Atondra”.
“Atondra” adalah nama samaran Allahyarham Datuk Mohd Nordin Andul Rahman, penulis kreatif, wartawan, penyunting, aktivis dan pembimbing penulis yang luar biasa.
Saya tidak pernah mengenal siapa beliau sewaktu saya mula menulis untuk akhbar dan majalah pada penghujung tahun 1960-an dan awal 1970-an.
Sewaktu saya dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Semerah di Batu Pahat, Johor, saya sudah mula menghantar karangan saya kepada akhbar Utusan Pelajar (terbitan Utusan Melayu) dan majalah Dewan Pelajar (terbitan DBP).
Dari situ saya menulis untuk penerbitan Balai Muhibbah yang terbit selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Seperti namanya, penerbitan itu bertujuan mempromosi muhibbah dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada tahun 1970 juga saya mula berjinak-jinak dengan majalah Pemimpin terbitan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Majalah ini disunting oleh Atondra yang sudah berkhidmat di situ sejak tahun 1968.
Pada masa itu, saya dan beberapa orang pelajar di bawah bimbingan Pak Matlob (Cikgu Mohktar Talib) sudah mula mendapat tempat di akhbar dan majalah tempatan.
Saya, M. Hanafiah A. Samad, Aminah Mohd Yassin, Kasmah Baharom, Saerah Atan dan Noriam Sulaiman, sekadar menyebut beberapa nama, merupakan ahli Persatuan Penulis Sekolah Menengah Semerah yang diasaskan oleh Pak Matlob. Saya percaya ini persatuan penulis pertama tertubuh di sekolah di Malaysia.
Saya dan Hanafiah mula menghantar rencana untuk Pemimpin. Setiap kali kami berbuat demikian rencana itu akan dikembalikan kepada kami dengan pembetulan dan komentar.
Barulah kami tahu bahawa orang yang bertanggungjawab ialah Atondra. Beliau secara tekun akan menyunting dan membuat komentar tulisan kami untuk semakan kami. Kami akan memperbaikinya dan memulangkan semula ke majalah itu.
Sama ada rencana itu tersiar atau tidak bukan soalnya, tapi kami terhutang budi kerana mendapat bimbingan beliau. Kami tidak pernah mengalami keadaan itu apabila menulis untuk penerbitan lain.
Atondra lahir pada 16 Jun 1938 di Jugra, Banting, Selangor. Beliau bermula sebagai guru sehingga tahun 1960, selepas itu beliau berkhidmat dengan sebuah syarikat iklan.
Beliau mempunyai banyak pengalaman sebagai penyunting dan pernah berkhidmat dengan Berita Filem di Singapura dan kemudiannya dengan Berita Harian dan Utusan Melayu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau lebih dikenal sebagai pegawai penerbitan rancangan yang bertanggungjawab sebagai penyunting drama untuk RTM. Beliau juga aktif dalam kegiatan kesusasteraan.
Kira-kira 10 tahun selepas mendapat bimbingan beliau di majalah Pemimpin dan setelah keluar dari Universiti Malaya, saya cuba menulis untuk drama TV. Saya ada pengalaman menulis drama pentas sewaktu aktif di kampung.
Saya juga sudah mencipta nama sebagai penggiat teater dengan drama-drama saya, Kotaku Oh Kotaku, Angin Kering, Sang Puteri dan Pasrah sewaktu saya di Universiti Malaya dan di Anak Alam. Tetapi saya ingin mencuba menulis skrip drama TV. Khabarnya bayarannya relatif lumayan.
Pada masa itu, RTM masih menerbitkan drama sendiri. Siri drama terbitan RTM ketika itu dikenal sebagai “Drama Minggu Ini” (DMI). Antara penerbit DMI ialah Rosli Jalil, Hasiah Arffin, Helan Abu dan Abdullah Zainol.
Konsep drama swasta belum bermula. Rasanya hanya pada tahun 1983, drama swasta dimulakan oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Adib Adam.
Drama TV saya yang pertama berjudul Menapak di Paya. Mungkin Atondra memang mengikuti perkembangan penulisan saya. Beliau memanggil saya ke pejabatnya di Angkasapuri.
Beliau memberitahu berdasarkan skrip itu, saya memang ada bakat menulis drama TV. Beliau membimbing saya untuk memperbaiki skrip itu. Sekali lagi Atondra mengambil banyak masa mencadangkan pembaikan dan perubahan.Hantu Semerah
Saya gunakan nama “Hantu Semerah” untuk skrip itu. Saya dramatis pentas, nama “Johan Jaaffar” eksklusif untuk drama pentas. Saya juga menggunakan nama itu untuk rencana, novel dan cerpen yang saya tulis. Saya memberitahunya bahawa saya sekadar nak cari duit dengan menulis drama TV.
“Kalau ia pun takanlah nama samaran seburuk itu,”katanya.
“Saya bagi nama awak Jaafar Khan. Boleh?” Saya terdiam. Ayah saya memang Jaaffar (dieja dengan 2A dan 2F) tetapi dari mana datangnya “Khan?’
Bagaimanapun saya bersetuju. Kekallah nama Jaafar Khan sebagai nama samaran untuk drama TV yang saya hasilkan: Anak Tiong Si Noni Sayang, Asy Syura, Pak Tua, Pendekar Raibah, Pelari, Angin Bila Benderu dan Anjung Batu.
Nama itu juga saya gunakan untuk menulis beberapa episod skrip sitkom terkenal, Pi Mai Pi Mai Tang Tu terbitan Othman Hafsham. Drama Menapak di Paya terbitan Helan Abu dilakonkan Rubiah Suparman dan memperkenalkan pelakon bukan Melayu, Nancie Foo.
Saya tidak dapat melupakan jasa Atondra. Beliau guru yang baik dan tekun. Saya tidak tahu berapa banyak orang yang mendapat manfaat daripada bimbingan beliau dalam banyak penerbitan yang pernah beliau pimpin, juga sewaktu beliau di RTM.
Sejak tahun 1983 saya tidak lagi menulis drama TV. Kami jarang bertemu. Sesekali saya akan menemui beliau dalam majlis sastera. Agak lama beliau sendiri tidak muncul di khayalak, khabarnya kesihatan beliau tidak sebaik dulu. Maka itu apabila penyair Yassin Salleh mencadangkan program “Bicara Karya Penyair” untuk Atondra, saya memberikan sokongan penuh.
Program itu dibuat di kediaman Atondra pada 3 Mei 2014. Saya menjadi tetamu kehormatnya. Pada masa itu saya Pengerusi Media Prima Berhad.
Saya masih ingat betapa gembiranya Atondra melihat kawan-kawan penulis yang datang. Sewaktu memeluk saya pada majlis itu beliau bertanya, “Hantu Semerah masih hidup?” Saya memberitahu beliau, Hantu Semerah sudah mati pada tahun 1970-an lagi, yang tinggal “Jaafar Khan” yang diciptakannya.
Pada 31 Oktober 2015, Institut Terjemahan Buku Negara (ITBM) melancarkan dua buah buku, Ikan-Ikan di Kaca iaitu koleksi puisi Yassin Salleh dan koleksi cerpen tiga dekad karya Atondra berjudul Sebuah Wilayah Bernama Kuala Lumpur. Majlis pelancaran itu diadakan di kedai buku Borders, Petaling Jaya. Saya diberikan penghormatan melancarkan kedua-dua buku itu.
Saya percaya pelancaran buku itu merupakan majlis umum terakhir yang dihadiri oleh Atondra. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 30 Mac 2021. Saya kehilangan seorang abang, mentor dan guru manakala negara kehilangan tokoh sastera berjasa besar.
*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau menulis cerpen, drama, novel selain esei dan kriritkan. Beliau juga mantan Pengerusi DBP dan Media Prima Berhad
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!