Sesi persekolahan negeri tidak berisiko perlu diteruskan
KUALA TERENGGANU - Bagi sekolah-sekolah di negeri yang tidak berisiko dan masih terkawal jumlah jangkitan harian tidak perlu mengambil keputusan untuk menutup sesi persekolahan.
Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan Chendering, Ahmad Zamri Sulong berkata, sesi persekolahan boleh berjalan seperti biasa dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dijaga.
“Pihak sekolah perlu memandang serius memastikan SOP di sekolah dipatuhi murid-murid seperti yang sedang dilakukan hari ini iaitu setiap pagi suhu murid-murid diperiksa sebelum dibenarkan memulakan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan.
“Selain itu guru-guru perlu sentiasa cakna memastikan pergerakan murid-murid di dalam kawasan sekolah dan di dalam kelas dihadkan seperti dipraktikkan hari ini di semua sekolah,” katanya.
Tambah Ahmad Zamri lagi, ibu bapa pula jangan lepas tangan dan perlu menggalas tanggungjawab bersama-sama dengan pihak sekolah bagi memastikan pematuhan SOP terus berjaya dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sementara itu, YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek di sini, Zamri Awang Hitam berkata, isu penutupan sementara sekolah sepatutnya tidak menjadi permasalahan bagi negeri yang masih dikategorikan sebagai zon hijau.
“Selain guru-guru yang berperanan memastikan SOP dijaga, ibu bapa juga perlu memainkan peranan besar sebagai contohnya jika ada kes positif di tempat kerja mereka, bagi saya tidak perlulah menghantar anak-anak ke sekolah.
“Ajak anak-anak kuarantin bersama di rumah masing-masing dalam tempoh ditetapkan. Ibu bapa perlu jujur dan jangan sesekali penting kan diri sendiri, kasihani lah anak-anak yang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!