Tiada masa pantau anak belajar kerana bekerja

Ibu bapa bimbang anak tidak mendapat pendidikan yang sama seperti murid lain yang mempunyai kelengkapan pembelajaran di rumah sekiranya sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19. Gambar kecil: Wan Mohammad Noor
Ibu bapa bimbang anak tidak mendapat pendidikan yang sama seperti murid lain yang mempunyai kelengkapan pembelajaran di rumah sekiranya sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19. Gambar kecil: Wan Mohammad Noor
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sesetengah ibu bapa mengakui tidak dapat memantau sepenuhnya kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan bimbang anak tidak mendapat pendidikan yang sama seperti murid lain yang mempunyai kelengkapan pembelajaran di rumah sekiranya sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Wan Mohammad Noor Wan Endut, 58, berkata, sebagai bapa kepada tiga anak yang masih bersekolah, dia perlu memberi tumpuan penuh terhadap pekerjaan dan jarang berada di rumah.

“Bagi golongan seperti saya yang menjaga anak sendiri dan dalam masa sama terpaksa keluar bekerja, saya rasa kaedah PdPR tidak begitu berkesan.

“Saya berani katakan begitu kerana berdasarkan pengalaman anak saya sendiri PdPR di rumah, saya tidak mampu untuk pantau sepenuhnya masa mereka belajar kerana terpaksa keluar bekerja.

“Apa yang saya perhatikan kebanyakan mereka mudah menyalahgunakan peranti misalnya dalam tempoh 10 hingga 15 minit sahaja tumpu belajar selebihnya lebih mudah terdedah kepada permainan lain di dalam telefon pintar,” katanya.

Wan Mohammad Noor yang menetap di Kampung Gong Baru bagaimanapun berkata, hal sebaliknya sekiranya terdapat kes Covid-19 di sekolah di mana ia wajar ditutup untuk seketika.

“Sebagai ibu bapa kami juga bimbang keselamatan anak-anak sekiranya terdapat penularan Covid-19 di sekolah. Kalau ada kes wajar ditutup.

“Namun sekiranya kerajaan mahu laksanakan semula PdPR sama seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu saya rasa agak keberatan kerana selain tiada masa untuk pantau anak-anak, ibu bapa juga perlu berbelanja lebih misalnya menyediakan peranti yang lengkap dan membayar kemudahan internet,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, kerajaan diharap dapat mencari mekanisme yang lebih berkesan dan dalam masa yang sama tidak merugikan anak-anak.

“Bagi saya tutup sekolah yang ada kes sahaja, bukan semua sekolah kerana ia akan membebankan ibu bapa terutama yang bekerja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!