‘Pas sanggup main 10 kolam’

Khairil Nizam menyuarakan keyakinan UMNO akan kembali untuk menjayakan agenda penyatuan ummah yang dijuarai Pas apabila tiba masanya kelak.
Khairil Nizam menyuarakan keyakinan UMNO akan kembali untuk menjayakan agenda penyatuan ummah yang dijuarai Pas apabila tiba masanya kelak.
A
A
A

MUTAKHIR ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima kritikan hebat daripada segenap sudut sehingga tersebar luas tanda pagar #kerajaangagal dalam kalangan pengguna media sosial.

Meskipun tempoh proklamasi darurat sudah berjalan lebih tiga bulan, kerajaan PN dibidas kerana dianggap masih gagal menangani isu-isu utama seperti peningkatan kes Covid-19, ekonomi negara merudum, pelabur asing lari dan pengangguran belia semakin meruncing.

Di sebalik tekanan dihadapi, riak wajah pemimpin muda PN ini dilihat masih kekal tenang menjawab setiap persoalan panas diutarakan, bermula isu ketidakstabilan kerajaan PN hinggalah penyatuan ummah dijuarai Pas dan PN.

Beliau ialah Ketua Pemuda PN merangkap Ketua Pemuda Pas Pusat, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama anak jati Perak ini yang dikendalikan wartawan Khairil Anwar Mohd Amin, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Raja Nur Faznie Aida.

Sinar Ahad: Bagaimana YB melihat perbezaan perjuangan Pas pada masa lalu dan sekarang?

KHAIRIL NIZAM: Yang saya lihat uniknya Pas ini adalah ia konsisten dari sudut dasar dan prinsip. Yang berubah dari sudut kepimpinan, cara berpolitik tetapi dari sudut dasar tetap sama iaitu Islam. Sebab itu bila kita mengambil dasar politik Islam, ia bercerita mengenai prinsip integriti. Islam ini bercerita tentang pertimbangan dosa dan pahala.

Sebab itu Pas secara konsisten dilihat parti yang tidak dikaitkan dengan rasuah. Bila kita ada integriti, kita nak ambil duit sedikit pun walaupun 10 sen, RM1, kita tahu ALLAH SWT ada.

Artikel Berkaitan:

Cuma saya boleh rangkumkan jawapan saya kepada tiga perkara. Pas ini pertamanya diusuli prinsip. Maknanya ia bersifat fundamental. Kedua, pendekatannya bersifat fleksibel selagi perkara itu dibolehkan syarak. Tidaklah kita mengambil pendekatan Machievelli, matlamat menghalalkan cara.

Ketiga, ia berfikir ke hadapan. Sebab itu Pas ada blue print Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051.

Bagaimana YB lihat kedudukan Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional?

Saya rasa kalau nak tanya Pas dalam kerajaan kita kena tanya rakyat. Sebab rakyat yang menilai bagaimana prestasi menteri-menteri Pas ini. Kita ada tiga menteri penuh dan lima timbalan menteri. Cuma, perkara ini dilaporkan setiap kali mesyuarat.

Pencapaian menteri-menteri kita dilaporkan dalam setiap mesyuarat bulanan Pas Pusat. Kita ada pembentangan dipanggil pembentangan kabinet.

Menteri-menteri akan memberi kad laporannya dan bagaimana bantuan yang barangkali boleh kita hubung kaitkan dengan Pas untuk kita bawa turun sampai ke bawah.

Pada saya prestasi boleh diserahkan kepada rakyat, biar rakyat menilai. Dari sudut kami, prestasi mereka dianalisis setiap kali mesyuarat Pas Pusat.

Khairil Nizam menunjukkan bukti laporan pertemuan Pemuda Pas bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membela nasib graduan yang masih menganggur ketika ini.
Khairil Nizam menunjukkan bukti laporan pertemuan Pemuda Pas bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membela nasib graduan yang masih menganggur ketika ini.

Apa tindakan lanjut pucuk pimpinan parti terhadap laporan itu?

Sebenarnya, inilah waktu Pas belajar dan terus aplikasi dalam kepimpinan parti. Apabila menteri-menteri nampak pembelajaran daripada pengalamannya berbincang dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan pegawai-pegawai kerajaan, maka ada perkara-perkara yang Pas boleh tingkatkan dari sudut penyampaian maklumat, membantu jentera di bawah dan ini menjadikan seseorang menteri itu berjaya.

Menteri ini takkan berjaya kalau dia sekadar bergantung kepada kakitangan kerajaan. Dia kena bergantung juga kepada parti yang mengangkatnya. Parti juga boleh membantu sebab ahli kita ramai. Kita ada jutaan ahli. Ahli ini boleh menjadi dalam sejarah Islam dipanggil burung ababil, yang boleh menyampaikan maklumat sehingga ke bawah.

Setakat mana pula perjuangan Pas yang kini menjadi kerajaan untuk meminda bidang kuasa jenayah dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 atau RUU 355?

Orang yang bertanggungjawab terhadap RUU 355 adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary daripada Pas. Setiap kali mesyuarat, kita dibentangkan perkara ini. Kita sangat konsisten.

Bukan sekadar RUU 355. Kalau kita lihat gerakan menentang Sugar Book adalah daripada Pemuda Pas. Kita jumpa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Saya jumpa sendiri dengan beliau dan dia kata kita akan bertindak. Esoknya terus bertindak.

Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, kita juga ketuai. Kita berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan beliau berkata dalam proses serta dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) kita buat susulan. Betul, dalam proses, kalau tak ada aral, insya-ALLAH.

Penularan isu-isu sensitif agama dan masyarakat Melayu seperti isu kartel, aplikasi SugarBook dan iklan judi raya menyebabkan ada orang mendakwa kerajaan PN gagal mengawalnya. Apa komen YB?

Kalau kita lihat dari sudut yang lain, bukankah hebat kerajaan PN? Baru setahun sudah keluar semua itu. Kartel daging, kartel kontrak RM3.8 bilion yang telah bermula sejak 2014, kartel imigresen yang membawa pendatang tanpa izin, semuanya ditimbulkan sekarang.

Bukankah itu menunjukkan yang kerajaan tidak menguasai polis, kerajaan tidak menguasai Jabatan Imigresen. Kalau dahulu kenapa perkara itu tidak timbul. Barisan Nasional (BN) memerintah berapa tahun, kenapa tidak timbul? PH 22 bulan, kenapa tidak timbul? Kenapa baru 12 bulan kami boleh timbulkan semua itu? Kena tengok dari sudut yang berbeza.

Pada saya itu satu pujian kepada kerajaan kerana sewaktu PN memerintah semua ini ditimbulkan. Bayangkan kontrak RM3.8 bilion berlegar dalam kalangan kontraktor, individu yang sama. Dan yang paling menarik, tengok pihak polis. Pada zaman PN memerintah, rampasan-rampasan dadah yang dibuat bukan satu kilogram, tetapi bertan-tan.

Pada saya, itu satu pujian terhadap langkah awal Perdana Menteri melantik pemimpin-pemimpin yang bebas daripada rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.

Kerajaan PN dipimpin Muhyiddin (tengah) kini didakwa semakin goyah apabila proklamasi darurat masih gagal menyelesaikan pandemik Covid-19 dan isu ekonomi negara.
Kerajaan PN dipimpin Muhyiddin (tengah) kini didakwa semakin goyah apabila proklamasi darurat masih gagal menyelesaikan pandemik Covid-19 dan isu ekonomi negara.

YB Ketua Pemuda Pas tetapi mengapa sekarang ada pimpinan Pas menolak Undi 18?

Kena tengok konteks jawapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Untuk maklumat anda, sewaktu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjumpa dengan saya untuk membicarakan tentang Undi 18, saya sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas waktu itu masuk dalam sidang meja bulat Menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sewaktu peringkat awal PH menjadi kerajaan.

Pada pendapat Pas, kita mahu usul Undi 18 atau Undi 21 datang sekali bersama pakej usul pendaftaran pemilih automatik. Dalam usul yang pertama dahulu, usul itu pendaftaran pemilih automatik tidak ada. Ia hanya menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun. Saya kata kepada Syed Saddiq, usul ini tidak akan disokong oleh Pas sebab perjuangan Pas dari dahulu adalah pendaftaran pemilih automatik tak kira usia berapa. Ramai pengundi Melayu tidak berdaftar. Akhirnya Syed Saddiq mengubah usulnya. Disebabkan ubah itu, kita menyokong. Tapi dalam perbincangan kami ialah bila turunkan Undi 18, kita perlu memberikan kesedaran politik kepada adik-adik kita.

Maknanya ia bukan sekadar menurunkan usia daripada 21 kepada 18 dan bukan sekadar usul pendaftaran pemilih automatik. Ia juga kepada satu pendekatan perubahan holistik iaitu sistem pendidikan negara. Daripada sekolah menengah yang adik-adik kita kena belajar, apakah maksud sistem politik kenegaraan di negara kita. Biasanya kita belajar politik kenegaraan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Kita kena rombak.

UMNO telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN selepas Parlimen dibubarkan. Bolehkah PN mencapai kemenangan pada PRU akan datang?

Saya rasa penyatuan ummah itu bukan hanya Pas dan UMNO. Ia melibatkan kolaboratif parti-parti Melayu yang bersetuju dengan dasar yang ditetapkan oleh PN. Ia juga melibatkan badan dan institusi bukan kerajaan. Maknanya, ada dua perkara. Satu penyatuan ummah, satu perpaduan nasional.

Jadi, mana-mana pihak yang berminat kepada perkara ini, di situlah akan timbulnya satu kekuatan yang lebih ampuh bila berdepan dengan PRU akan datang. Yang paling penting sekali ialah mewujudkan satu kesatuan ummah yang kuat dan ia bukan hak milik eksklusif Pas dan juga UMNO.

Jadi, kalau UMNO kata dia tidak mahu bersama dengan kerajaan PN, kami pun terfikir kalau dah bubar Parlimen esok, menteri-menteri UMNO buat apa?

Jadi saya rasa mengenai rumah tangga mereka (UMNO), biarlah mereka selesaikan dahulu. Kita di peringkat PN ini, perlu terus mencari sokongan. Mana-mana yang minat bersama dengan PN, hendak menyokong silakan. Tapi mereka bukannya ahli PN. Terbaharu, parti Gerakan telah bersama kita.

Ramai orang cakap yang Pas main dua kolam, PN dan Muafakat Nasional. Apa perasaan YB dengan tuduhan seperti ini?

Dahulu saya jawab secara teknikal. Sekarang kalau main 10 kolam sekali pun demi penyatuan ummah saya akan buat. Penyatuan ummah bukan hak eksklusif Pas dan UMNO, ia juga melibatkan NGO, NGI serta parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

Kalau selepas ini saya bekerjasama dengan MCA macam mana? Kalau saya jumpa pula dengan NGO Muslim yang kuat, satu kolam lagi. Kita dah jelas bagitahu, ini bukan lagi hak milik UMNO dan Pas. Ini adalah milik hak umat Islam dan hak orang bukan Islam yang tidak ekstrem yang mahukan kepada penyatuan rakyat.

Selain kerajaan berintegriti, apa lagi tawaran baharu yang akan dikemukakan PN bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan?

Ada tiga. Kerajaan Integriti, Berkebajikan dan Prihatin. Ini adalah kombinasi ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini adalah ramuan istimewanya. Inilah ‘new deal’ kepada rakyat.

Dalam tiga bentuk tawaran itu, banyak sangat perkara yang dirangkumkan. Sekarang pun, kerajaan berusaha ke arah itu. Tinggal lagi, mekanisme untuk kita sampaikan kepada rakyat. Banyak yang sudah ada sekarang ini. Golongan usahawan pun dapat, pengusaha perusahaan kecil dan sederhana pun dapat, pekerja e-hailing pun dapat.

Perlukan pemimpin-pemimpin berusia lebih 65 hingga 70 tahun ke atas berundur daripada politik dan memberi laluan kepada muka baharu?

Ada pepatah Arab yang bermaksud, ‘Hikmah orang tua dalam semangat orang muda’. Pemimpin yang berpengalaman sangat diperlukan dalam sebuah pentadbiran negara. Kita bercakap tentang negara dan bukan pemimpin nukleus. Pemimpin muda pula perlu dipandu oleh orang-orang berpengalaman.

Dari sudut kuantiti, pastilah saya berpendapat kalau kita mahukan pemimpin muda, pastikan mereka memiliki pengalaman luas, bukan hanya pemimpin yang separuh masak. Ini kerana politik kenegaraan adalah sangat rumit. Hendak bercakap dengan penjawat awam, ada laras bahasanya. Apatah kemahiran komunikasi amat diperlukan untuk berunding dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Khairil Nizam (tengah) bersama wartawan Sinar Ahad, Khairil Anwar Mohd Amin (kiri) dan Mohammad Khairil Ashraf pada sesi wawancara eksklusif Sinar Ahad di pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Khairil Nizam (tengah) bersama wartawan Sinar Ahad, Khairil Anwar Mohd Amin (kiri) dan Mohammad Khairil Ashraf pada sesi wawancara eksklusif Sinar Ahad di pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

ANEKDOT

Pantang asyik main telefon di rumah

Saya akui beban tugasan dalam bidang politik yang banyak menyebabkan saya terpaksa menaruh sepenuh kepercayaan kepada isteri tercinta untuk menguruskan kehidupan sembilan anak saya. Bagaimanapun, satu prinsip yang saya sentiasa pegang adalah sentiasa melebihkan kepentingan keluarga, isteri dan anak-anak berbanding diri sendiri. Jadi, setiap kali saya selesai menjalankan tugasan politik dan parti, saya akan segera balik ke rumah dan menghabiskan sepenuh waktu bersama isteri dan anak-anak.

Satu lagi perkara yang saya pantang lakukan di rumah adalah sentiasa melihat telefon bimbit. Kebiasaannya waktu di rumah diluangkan sepenuhnya untuk bermain, memberi perhatian kepada sembilan anak saya.

Nasihat lain yang saya mahu berikan adalah jangan terlalu kuat bekerja. Sebaiknya bekerja secara berhikmah dengan meletakkan asas kekeluargaan mendahului urusan kerja. Sewaktu saya bekerja di syarikat swasta, saya terlalu kuat bekerja dan akhirnya saya tersedar bahawa ia bukan benar-benar membawa kebahagiaan kepada saya.

Berbasikal bersama isteri dan anak

Apabila saya pulang ke rumah, saya akan tumpukan sepenuh masa untuk urusan keluarga. Kalau mahu bermain pun, saya akan bermain bersama anak-anak saya. Tiada masa untuk saya keluar rumah, melepak dengan orang lain tanpa arah tujuan. Kalau ada yang mahu jumpa saya selepas waktu kerja sekali pun, mereka akan datang rumah saya. Cuma ada satu jenis sukan yang saya minati iaitu sukan berbasikal. Itu pun saya akan lakukan bersama isteri dan anak-anak sekiranya ada masa terluang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!