Rusuk kanan Adib lebam: Saksi kesembilan
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Saksi kesembilan Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim mendedahkan terdapat kesan tapak kasut pada rusuk kanan anggota bomba itu.
Kru teknikal, R Narresh memberitahu Mahkamah Koroner, dia nampak kesan itu sewaktu memeriksa kecederaan badan Muhammad Adib.
"Saya nampak ada kesan garisan tapak kasut pada rusuk kanan Muhammad Adib dan kemudian saya lap dan ianya (kesan tapak kasut) hilang," katanya.
Narresh yang juga Anggota Pertahanan Awam berkata, selain itu, rusuk kanan Muhammad Adib mempunyai kesan lebam.
"Bimbang ada pendarahan, jadi saya bersedia untuk menggulung baju T dan celorengnya untuk diikat pada badan Muhammad Adib," katanya.
Ketika menjawab pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Narresh berkata, keadaan anggota bomba itu seperti sesak nafas.
Hamdan: Apa yang kamu nampak pada badan anggota bomba itu?
Narresh: Selain kecederaan rusuk kanan, hidung dan telinga tidak ada keluar darah.
Hamdan: Apa yang kamu buat?
Narresh: Saya periksa nadi di leher anggota bomba itu dan mendapati denyutannya menurun. Biarpun tidak sedarkan diri, saya teruskan berkomunikasi dengan dia. Saya beritahu dia "be strong, we reach to hospital soon".
Dalam separuh perjalanan ke hospital, telefon bimbit Muhammad Adib berdering.
"Saya menjawab panggilan itu dan beritahu: Abang kawan you cedera, kami dalam perjalanan ke hospital," katanya.
Prosiding Inkues Kematian Muhammad Adib hari keenam berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!