Jentera Jang kurang kreatif guna peluang
PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Devan menyifatkan anak buahnya kurang kreatif dalam memanfaatkan peluang, menyebabkan mereka hanya mampu seri 1-1 dengan Sarawak United dalam aksi Liga Premier di laman sendiri pada Sabtu.
Menurut Devan, skuad Hoben Jang Hoben terlepas empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama yang mungkin menghasilkan keputusan berbeza jika peluang terhidang itu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Jika kita dapat jaringkan satu atau dua gol pada separuh masa pertama berkemungkinan besar peluang untuk kita menang pada malam tadi amat baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dalam pada itu Devan mengakui keputusan mengeluarkan seorang pemain pertahanan dan digantikan dengan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir bagi memantapkan serangan tidak banyak memberi kesan walaupun taun rumah berhasil menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada babak kedua perlawanan.
Di sebalik keputusan itu, Negeri Sembilan masih menguasai liga dengan 18 mata selepas sembilan perlawanan setakat ini diikuti Sarawak United yang mengumpul 17 mata namun mempunyai kelebihan satu lagi perlawanan manakala Kelantan United di tangga ketiga dengan 16 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!