Dakwaan sabotaj: Gobind minta RTM sediakan laporan
PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengarahkan stesen penyiaran kerajaan, RTM untuk menyediakan laporan berhubung dakwaan melakukan sabotaj terhadap kerajaan Persekutuan.
Katanya, dakwaan berhubung perkara tersebut dibangkitkan kepadanya dan beliau sendiri sudah menonton liputan acara sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban, semalam.
"Ia dibangkitkan malam tadi dan saya melihat siaran itu pagi ini sebelum ke lapangan terbang.
"Saya telah meminta RTM memberi laporan kepada saya. Dapat laporan nanti, saya akan buat apa yang perlu," katanya menerusi satu laporan yang disiarkan portal Malaysiakini hari ini.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Pembantu Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan menerusi akaun Facebooknya yang mendakwa liputan secara langsung acara tersebut tidak melaporkan sebarang berita daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Swee Kuan yang mempersoalkan tindakan penyiar rasmi kerajaan itu melakukan sabotaj terhadap Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Aminuddin mahu menghantar surat aduan kepada Gobind yang bertanggungjawab ke atas agensi tersebut.
Sambutan rumah terbuka itu diadakan di Dataran Sentrio, Seremban dan dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta anggota kabinet.
Dalam pada itu, Gobind turut ditanya sama ada wajib untuk RTM dan media milik negara lain menerbitkan atau menyiarkan sebarang ucapan oleh seseorang menteri beliau menjelaskan, ia adalah liputan secara langsung.
"Saya telah meminta mereka untuk butirannya, terutama acara yang mereka diminta hadir, mengikut terma dan prosedur operasi standard. Saya perlu melihat perkara ini sebelum saya mengulas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!